Sarawak perlu peruntukan lebih besar segera, kerajaan diberitahu

Sarawak perlu peruntukan lebih besar segera, kerajaan diberitahu

Ahli akademik berkata ia diperlukan untuk membaiki sekolah yang usang, membangunkan kawasan luar bandar dan membasmi kemiskinan.

Dengan perkhidmatan internet yang lemah di kebanyakan kawasan luar bandar di Sarawak, ramai pelajar dikatakan ketinggalan dalam pelajaran mereka sepanjang 18 bulan yang lalu. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ahli akademik menggesa supaya peruntukan lebih besar disalurkan untuk membantu Sarawak membangunkan sekolah dan kemudahan asas kerana ia amat diperlukan segera.

Felo Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir berkata, peruntukan besar itu diperlukan menerusi Bajet 2022.

Beliau mengakui bahawa peruntukan berbilion ringgit telah dijanjikan kepada negeri itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tetapi tempohnya adalah sehingga 2025 dan selain ia tidak dinyatakan apa yang akan berlaku dalam beberapa tahun ini.

“Peruntukan besar mesti disalurkan menerusi Bajet 2022,” katanya kepada FMT.

Katanya, ia diperlukan untuk membaiki sekolah yang usang, membangunkan kawasan luar bandar dan membasmi kemiskinan.

Beliau menggesa Putrajaya memberi perhatian serius terhadap pembangunan infrastruktur di luar bandar seperti bekalan air, elektrik dan akses internet.

“Kita sentiasa membincangkan mengenai perkara ini selama bertahun-tahun tetapi gagal mencapai sasaran atau sering mengubah sasaran,” katanya.

“Kerajaan Persekutuan mesti menunjukkan komitmen penuh dalam menangani masalah ini. Ia mesti mengelakkan kebocoran dan pembaziran dan memastikan semua projek dilaksanakan secara efektif dan mengikut jadual.

“Jika tidak, ia hanya menjadi satu cerita yang berulang-ulang.”

Di bawah RMK12, sebanyak RM4.47 bilion telah diperuntukkan untuk Sarawak dan sebagai tambahan juga kerajaan memperuntukkan RM4.09 bilion untuk negeri itu menaiktaraf sistem capaian di bawah pelan rangkaian digital dikenali sebagai Jendela.

Madeline Berma, Profesor Kehormat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), berkata beliau ingin melihat Putrajaya menyalurkan peruntukan khas untuk membantu pelajar yang terkesan dalam pelajaran akibat pandemik Covid-19.

Katanya, ia adalah situasi sebenar yang dihadapi oleh pelajar di kawasan luar bandar di Sarawak dan Sabah.

“Ramai pelajar tidak mendapat pendidikan berkualiti kerana sekolah ditutup dan mereka tidak mempunyai akses untuk mengikuti kelas secara maya,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk kumpulan pelajar ini sebagai “generasi tercicir” dan berkata peruntukan khas mesti disalurkan untuk membantu mereka mengejar kembali pelajar yang tertinggal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.