Undi18 ‘batu penghadang’ buat ahli politik cara lama

Undi18 ‘batu penghadang’ buat ahli politik cara lama

Aktivis belia Adam Adli dan penganalisis politik berkata umur baharu undian dan pendaftaran pemilih automatik akan mengubah keadaan.

Aktivis belia Adam Adli dihukum penjara pada 2014 selepas didapati bersalah atas tuduhan memberikan ucapan berbaur hasutan.
PETALING JAYA:
Ahli politik yang menang dalam pilihan raya sebelum ini dengan memancing isu perkauman dan agama mungkin mengalami kejutan apabila 5.6 juta pengundi baharu bersuara pada pilihan raya akan datang, kata aktivis belia Adam Adli.

“Masalah perkauman dan agama bukanlah cara untuk memenangi hati para belia. Kami mencari ahli politik yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan untuk kami,” katanya kepada FMT.

Adam mengakui belum ada kajian dibuat mengenai pilihan politik pengundi muda berusia 18 tahun ke atas, namun komen di media sosial dan perbincangannya dengan kumpulan belia menunjukkan mereka mungkin menjauhkan diri daripada ahli politik yang memperjuangkan kaum dan agama.

Katanya, orang muda terlalu lama berada di rumah kerana sekatan Covid-19 dan kehilangan peluang mendapatkan pendidikan dan pekerjaan. “Mereka tidak mahu ahli politik yang berfikiran konservatif,” katanya.

Sejumlah pengundi baharu akan berada dalam daftar pemilih pada pilihan raya umum akan datang kerana kerajaan telah bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif Undi18 bagi menurunkan usia pengundi menjadi 18 tahun dan menyediakan pendaftaran pemilih automatik.

Pemerhati politik mengharapkan pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, walaupun penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2023, berikutan ketidaktentuan politik yang mengakibatkan perubahan dua kerajaan dalam tempoh dua tahun.

Adam berkata, anak muda aktif di media sosial dan mengkritik ahli politik yang mengabaikan keperluan mereka. Mereka mahu suara mereka didengari. Namun, mereka mungkin tidak menolak ahli politik lebih tua “selagi mereka tidak konservatif dan boleh memenuhi keperluan belia.”

Pada 2014, Adam dijatuhi hukuman penjara setahun kerana memberikan ucapan yang mendesak orang ramai mengadakan demonstrasi jalanan terhadap keputusan pilihan raya pada 2013. Pada tahun berikutnya dia dituduh mengambil bahagian dalam perhimpunan haram tetapi dibebaskan tiga tahun kemudian.

Undi18 mengubah keadaan

Penganalisis politik Kenneth Cheng berkata, Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik adalah pengubah keadaan kerana mereka yang dilahirkan pada 2003 layak untuk memilih dan mungkin tidak dapat menerima ahli politik yang sering menimbulkan perselisihan antara kaum.

Cheng yang juga seorang anggota Agora Society, iaitu sebuah jaringan intelektual berkata, ahli politik yang lebih tua yang gagal memahami golongan muda cenderung untuk disingkirkan.

Beberapa masalah yang menjadi perhatian pengundi muda adalah yuran pengajian di kolej atau universiti, peluang pekerjaan, perumahan dan masalah alam sekitar yang semakin teruk.

Beliau berkata, sebelum ini ahli politik boleh menaikkan yuran pengajian pada masa sama memastikan warga tua gembira dengan pencen yang lebih tinggi, tetapi sekarang mereka perlu menyeimbangkan antara kedua-duanya.

Seorang lagi penganalisis Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, ahli politik mungkin tidak selesa dengan pengundi yang lebih muda kerana ramai antara mereka tidak berpuas hati dengan situasi politik selepas 2018.

Pakatan Harapan (PH) telah diundi dengan harapan tinggi bahawa mereka akan melakukan pembaharuan tetapi secara tidak sengaja disingkirkan dari Putrajaya.

Oh berkata, Umno dan PAS mempunyai jentera pilihan raya yang hebat untuk menarik pengundi baharu dan mendorong mereka yang didaftarkan secara automatik untuk keluar mengundi.

Umno mempunyai “sumber” untuk terus disalurkan ke kawasan pilihan raya mereka, sementara “yang penting bagi PAS adalah kesinambungan pemikiran pemilih muda dan tua untuk terus menyokong “visi teokratik” mereka untuk negara,” katanya kepada FMT.

Katanya, ahli politik akan berusaha untuk bersikap baik terhadap pengundi mereka yang lebih muda dengan berusaha memenuhi keperluan golongan muda atau melakukan tekanan ke atas pemikiran mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.