Tekankan perbelanjaan sosial dalam Belanjawan 2022, gesa ahli ekonomi

Tekankan perbelanjaan sosial dalam Belanjawan 2022, gesa ahli ekonomi

Ahli ekonomi berkata perbelanjaan sosial negara masih rendah berbanding negara lain di rantau ini.

Seorang ahli ekonomi berkata, perbelanjaan dalam Belanjawan 2022 perlu memberi fokus terhadap matlamat jangka panjang berbanding penyelesaian jangka pendek yang akan menimbulkan isu lain pada masa hadapan.
PETALING JAYA:
Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini harus memberi penekanan dalam meningkatkan aspek perlindungan sosial selari dengan agenda keterangkuman seperti dijanjikan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata ahli ekonomi.

Profesor di Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, keterangkuman di bawah RMK12 itu perlu diterapkan menerusi penekanan besar terhadap perbelanjaan sosial.

“Tahap perbelanjaan sosial kita agak rendah berbanding negara lain di rantau ini, iaitu kurang 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala negara lain memperuntukkan hampir 20% perbelanjaan untuk perlindungan sosial dan inisiatif meningkatkan kehidupan rakyat,” katanya kepada FMT.

“Jadi saya ingin melihat perbelanjaan Malaysia untuk aspek ini mencapai 10% dalam belanjawan akan datang. Ini boleh dilakukan dan ia sekali gus dapat membuktikan kepada dunia bahawa kita benar-benar maksudkannya apabila mengatakan negara ini mengambil berat terhadap keadaan rakyat.”

Berjoyai Bardai.

Katanya, pekali Gini yang menjadi ukuran statistik ketidaksamaan ekonomi di Malaysia menunjukkan jurang pendapatan rakyat masih lagi tinggi berbanding negara jiran.

“Kita harus memperhalusi bagaimana untuk mencapai sasaran baharu 0.388 dan membuat pelaburan bagi membolehkan kumpulan berpendapatan rendah mengembangkan kekayaan mereka.

“Kita perlu memanfaatkan teknologi untuk membantu komuniti miskin dengan lebih efektif. Kita perlu memastikan supaya kelulusan permohonan dan pengagihan bantuan boleh dilakukan secepat mungkin.”

Manakala itu Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Carmelo Ferlito berkata, perbelanjaan itu perlu memberi fokus terhadap matlamat jangka panjang berbanding penyelesaian jangka pendek yang akan menimbulkan isu lain pada masa hadapan.

“Saya ingin melihat bajet yang tidak terlalu bercita-cita tinggi yang dibiayai dengan hutang tambahan,” katanya.

Carmelo Ferlito.

Beliau juga berharap kerajaan melaksanakan penstrukturan cukai berbanding cukai secara terus yang akan mengenakan kadar cukai lebih rendah terhadap pendapatan individu dan perolehan syarikat dan bersifat tidak langsung seperti pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Selain itu inflasi akan meningkat akibat pandemik dan ini mengurangkan kuasa membeli, melemahkan nilai mata wang ringgit dan meningkatkan kos import. Ini disebabkan oleh kejutan bekalan, jadi kerajaan perlu memulihkan dan membina semula rantaian bekalan untuk mengurangkan risiko,” katanya.

Mengenai dasar untuk golongan miskin, beliau berharap kerajaan dapat mengurangkan penekanan yang diberikan terhadap dasar rumah mampu milik, sebaliknya peruntukan itu disalurkan bagi perkembangan mobiliti sosial seperti bantuan sewa rumah bagi membolehkan rakyat berpindah ke kawasan dengan peluang pekerjaan lebih baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.