MBJB pantau Pantai Stulang Laut elak jadi lokasi minum arak

MBJB pantau Pantai Stulang Laut elak jadi lokasi minum arak

Datuk Bandar Johor Bahru berkata, aktiviti minum minuman keras di kawasan itu adalah satu kesalahan.

Selain aktiviti minum minuman keras, kawasan Pantai Stulang Laut juga menjadi lokasi pemabuk membuang air kecil dan sampah, selain berlaku pergaduhan. (Gambar MBJB)
JOHOR BAHRU:
Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan melakukan operasi bersama polis untuk memastikan kawasan Pantai Stulang Laut, yang merupakan lokasi tumpuan orang ramai untuk beriadah, tidak menjadi lokasi aktiviti minum minuman arak.

Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd Noorazam Osman berkata, isu itu telah lama berlaku sehingga ia menyebabkan kekotoran dan membuatkan pengunjung tidak selesa, sekali gus mencemarkan keindahan kawasan berkenaan.

“Minum minuman keras di kawasan ini adalah satu kesalahan dan kita boleh membuat teguran atau menahan, sekiranya enggan mendengar arahan pihak berkuasa.

“Jadi, kita harap selepas ini dapat buat operasi bersama pihak polis untuk memastikan kawasan Pantai Stulang Laut bukan tempat orang minum arak,” katanya selepas merasmikan Program Gotong Royong Jom Indahkan Pantai Stulang Laut.

Selain aktiviti minum minuman keras sehingga mabuk, katanya, kawasan itu juga menjadi lokasi pemabuk membuang air kecil, sampah, pergaduhan dan sebagainya.

Noorazam berkata, selain pemantauan bersama polis, orang ramai juga diharapkan dapat memberi kerjasama dan mempunyai kesedaran bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih dan selamat.

Hal ini kerana menurutnya, jika kawasan berkenaan sentiasa bersih, ia akan mencerminkan kebersihan masyarakat di Johor memandangkan kedudukannya berdekatan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

“Kerjasama semua amat penting dan jadilah masyarakat yang mahu bandar raya ini sentiasa selamat, bersih, cantik, menjadi pusat tarikan pelaburan dan tempat tinggal di dalam Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.