Kastam gagalkan cubaan seludup bunga ganja lebih RM1 juta

Kastam gagalkan cubaan seludup bunga ganja lebih RM1 juta

Kegiatan itu yang menggunakan taktik menyembunyikan bunga ganja dalam bungkusan makanan ringan dan teh, terbongkar susulan penahanan sebuah van di KLIA.

Zulkifli Muhammad
Pengarah JKDM KLIA Zulkifli Muhammad (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan bunga ganja bernilai lebih RM1 juta dalam operasi baru-baru ini. (Gambar JKDM)
PETALING JAYA:
Kastam berjaya membongkar taktik menyembunyikan bunga ganja dalam bungkusan makanan ringan dan teh susulan penahanan sebuah van perdagangan di KLIA, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, Zulkifli Muhammad, operasi pada 18 Julai lalu itu dilakukan Cawangan Eksport Bahagian Perkastaman JKDM KLIA disertai anggota Operasi Bahagian Penguatkuasaan.

Katanya, van terbabit disahkan membawa dagangan ‘consolidate’ untuk dihantar ke sebuah negara di Eropah yang dijadualkan berlepas pada 21 Julai lalu.

“Hasil pemeriksaan menemukan sembilan kotak dagangan disyaki mengandungi bunga ganja seberat 21.22 kg bernilai lebih RM1.80 juta.

“Mereka menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam plastik kedap udara pelbagai bungkusan makanan ringan dan bungkusan teh bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Sinar Harian.

Sementara itu, Kastam turut menyerbu sebuah gudang di Puchong dalam operasi oleh Bahagian Penguatkuasaan pada 10 Julai lalu.

Katanya, mereka berjaya merampas sebanyak 50,738.40 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai melebihi RM2.03 juta termasuk duti dan cukai.

“Orang ramai digesa membantu Kastam dalam memerangi jenayah jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain.

“Mereka juga dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam aktiviti itu yang bukan sahaja merugikan negara tetapi turut mengancam negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.