
Kasthuri Patto dari DAP, yang memetik dakwaan salah urus dana Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), berkata dengan ketiadaan ketara ketelusan dalam pengeluaran dana pada masa lalu, belanjawan akan datang mesti mengatasi kelemahan ini.
“Terdapat gesaan agar dana tahunan MITRA ditingkatkan kepada RM200 juta atau lebih untuk transformasi sosial dan ekonomi masyarakat India. Oleh itu, wujud keperluan bagi ketelusan dan kejujuran mutlak,” kata Ahli Parlimen Batu Kawan itu dalam kenyataan.
Dalam konteks ini, beliau menggesa Kementerian Perpaduan Negara agar mendedahkan kepada umum semua badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi dana dan jumlah yang mereka terima untuk mengetahui bagaimana wang itu dibelanjakan.
“Perlu ada akauntabiliti dan kejelasan lebih besar tentang bagaimana dana MITRA akan dibelanjakan pada masa hadapan dan ke mana ia pergi pada masa lalu. Rakyat ingin tahu ia sememangnya mencapai sasaran,” katanya.
Berbanding menerima RM100 juta setiap tahun, MITRA hanya memperoleh RM65 juta pada 2020 dan RM49.1 juta tahun ini, menurut Menteri Perpaduan Halimah Sadiq.
Beliau berkata, unit itu perlu menyelesaikan hutang yang ditanggung ketika berada bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
Kasthuri berkata, rakyat mesti tahu perincian hutang yang dilunaskan menggunakan dana MITRA kerana pendedahan itu mengejutkan komuniti.
“Kepada siapa ia dibayar dan bagi tujuan apa? Adakah terdapat sebarang pemantauan atas program atau kursus terbabit? Berapa ramai orang India mendapat manfaat daripada program ini?
“Saya harap perincian ini dan banyak kekurangan lain akan dijelaskan dalam Belanjawan 2022 dan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan semasa sesi perbahasan dan penggulungan,” katanya.
Beliau berkata, terdapat mesej tular yang belum disahkan mengatakan lebih RM23 juta telah diberikan kepada 15 NGO untuk menjalankan program dan kursus, dengan satu daripadanya menerima RM9.15 juta, manakala yang lain, antara RM300,000 dan RM1.5 juta.
“Kementerian Perpaduan Negara mesti menangani dakwaan ini dan menjelaskan kebenaran mengenainya. Sekiranya benar, kami ingin tahu sama ada MITRA memantau untuk melihat sejauh mana kejayaan program ini,” tambahnya.
“Kad laporan MITRA mengenai perbelanjaannya pada masa lalu mesti menjadi penanda aras untuk peruntukan masa depan.”
Beliau berkata, walaupun MITRA adalah satu-satunya agensi kerajaan yang menyalurkan dana kepada NGO untuk menaikkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India, Kementerian Kewangan adalah penjaga dana itu yang mesti diaudit dan diteliti oleh Ketua Audit Negara dan laporannya dibentangkan di Parlimen.