Bajet 2022: Kerajaan jamin 600,000 peluang kerja

Bajet 2022: Kerajaan jamin 600,000 peluang kerja

Menteri Kewangan berkata, jaminan di bawah inisiatif 'JaminKerja' itu membabitkan RM4.8 bilion.

Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti Orang Kurang Upaya, Orang Asli dan banduan, kerajaan menyediakan insentif 30% daripada gaji bulanan bagi enam bulan pertama dan 40% bagi enam bulan berikutnya.
PETALING JAYA:
Kerajaan menjamin 600,000 peluang pekerjaan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion pada tahun depan.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja melalui inisiatif insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 pekerjaan membabitkan peruntukan RM2 bilion.

“Di bawah inisiatif ini, kepada majikan yang mengambil Keluarga Malaysia tidak aktif bekerja, kerajaan akan memberikan insentif sebanyak 20% daripada gaji bulanan bagi tempoh enam bulan pertama dan 30% bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas,” katanya di Dewan Rakyat.

Selain itu katanya, bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli dan banduan, kerajaan akan menyediakan insentif 30% daripada gaji bulanan bagi enam bulan pertama.

“Manakala 40% bagi enam bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

“Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, insentif ini turut dipanjangkan kepada majikan yang menggaji wanita tidak bekerja melebihi 365 hari, ibu tunggal dan suri rumah.”

Beliau berkata, inisiatif “Malaysia Short-term Employment Programme” atau ‘MySTEP’ akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak, merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mulai Januari 2022.

“Bajet ini turut menyasarkan 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 billion. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah program ‘place and train’, iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan.”

Zafrul berkata, program peningkatan kemahiran dengan kerjasama industri turut dipergiatkan dengan keutamaan kepada kemahiran digital, contohnya program Global Online Workforce (atau GLOW) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.