Beri layanan adil kepada pekerja asing, aktivis gesa PERKESO

Beri layanan adil kepada pekerja asing, aktivis gesa PERKESO

Aktivis berkata setakat ini pekerja asing tidak mendapat manfaat perlindungan yang sama seperti pekerja tempatan sedangkan mereka turut mencarum kepada PERKESO.

Aktivis berkata, PERKESO mesti memperluaskan manfaat yang diberikan kepada pekerja asing.
PETALING JAYA:
Beberapa aktivis menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan manfaat dan pampasan sama yang diberikan kepada pekerja tempatan untuk warga asing.

Ketika ini pekerja tempatan layak menerima manfaat di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan manakala pekerja asing pula hanya layak menerima manfaat di bawah skim bencana sahaja.

Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan (NSI) Adrian Pereira memberitahu FMT bahawa PERKESO tidak sepatutnya “mendiskriminasi” pekerja asing dan menyediakan perlindungan tanpa mengambil kira status undang-undang mereka.

Pereira berkata, aktiviti ekonomi di negara ini amat bergantung kepada sumber pekerja asing tanpa dokumen dan PERKESO “tidak boleh terlalu birokratik dalam perkara ini.”

Manakala itu, Perunding dan Pengasas Bersama Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS) Irene Xavier berkata, PERKESO mesti memperluaskan manfaat yang diberikan kepada pekerja asing.

Katanya, mereka juga mesti memudahkan urusan semua pekerja terbabit untuk mendapatkan bantuan.

“Mereka menyebabkan pekerja asing ini terpaksa ke mahkamah untuk mendapatkan tuntutan beberapa ribu ringgit sedangkan ia adalah wang mereka. Mereka membuat sumbangan kepada PERKESO bagi membolehkan wang itu digunakan untuk membantu pekerja lain.

“Cara PERKESO diuruskan tidak ubah seperti sebuah syarikat pelaburan berbanding penyedia skim untuk melindungi pekerja. Mereka perlu mengubah sikap ini,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata, adalah tidak adil untuk membiarkan pekerja asing tanpa mendapat manfaat di bawah Skim Keilatan.

“MTUC sedang mengadakan libat urus dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mendesak supaya pekerja tempatan dan asing diberikan layanan yang sama. Malah pekerja Malaysia yang bekerja di luar negara juga dilayan secara adil dengan rakan sekerja tempatan,” katanya.

Menurut PERKESO, seramai 1,897,212 pekerja asing menyumbang kepada pertubuhan itu setakat 16 Okt.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, PERKESO telah membayar pampasan berjumlah RM11.19 juta kepada pekerja yang terjejas akibat Covid-19 di tempat kerja yang membabitkan 15,036 kes setakat 18 Sept lalu.

Daripada jumlah keseluruhan itu, lebih RM10 juta telah dibayar kepada pekerja tempatan (13,170 kes) dan selebihnya kepada pekerja asing (1,866 kes).

Selain itu, lebih RM3.5 juta lagi telah dibayar untuk urusan pengebumian 1,792 mangsa Covid-19 rakyat tempatan dan RM3,500 untuk pengebumian dua pekerja asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.