Sorotan peristiwa penting sepanjang 2025

Sorotan peristiwa penting sepanjang 2025

2025 dicorakkan oleh peristiwa besar yang mencuri perhatian negara.

Anwar Ibrahim, najib razak, pamela ling, zara qairina
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas perdana menteri Najib Razak, Pamela Ling dan Zara Qairina Mahathir antara individu yang menjadi perhatian pada 2025.
PETALING JAYA:
Daripada perjanjian bersejarah hingga kematian tragis, keputusan mahkamah penting dan pergolakan politik, 2025 menyaksikan pelbagai peristiwa yang meraih perhatian rakyat.

FMT menyorot peristiwa dan individu yang terpampang pada muka depan akhbar sepanjang 2025.

Januari: JS-SEZ, kontroversi sandwic ham

Tahun 2025 bermula dengan Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian bersejarah bagi mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), bertujuan menarik pelaburan serta melancarkan pergerakan barangan dan rakyat antara kedua-dua negara.

Beberapa hari kemudian, tercetus kontroversi berhubung penjualan sandwic ham dengan pensijilan halal palsu di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya. Isu itu berakhir dengan sebuah syarikat dan pengarahnya dihadapkan ke mahkamah.

Februari: Tembakan di Setia Alam, Ismail Sabri disiasat

Pada Februari, Lembah Klang dikejutkan dengan insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam yang mengakibatkan seorang pekerja pembersihan cedera dan satu keluarga dijadikan tebusan oleh suspek.

Suspek berusia lingkungan 30-an, dikenali sebagai ‘Ah Boy’, ditembak mati oleh polis di Pulau Ketam. Suspek dipercayai mengambil dadah yang menyebabkan dia menjadi agresif lalu terdorong untuk terlibat dalam rompakan, pecah masuk dan jenayah lain.

Februari turut menyaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan siasatan terhadap Ismail Sabri Yaakob, selepas wang tunai RM170 juta serta jongkong emas seberat 16kg bernilai jutaan ringgit dirampas dalam siasatan membabitkan empat pegawai kanan yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.

Mac: Pergolakan DAP, bantahan pemindahan kuil Hindu 130 tahun

Pemilihan DAP menyaksikan perubahan kepimpinan apabila Gobind Singh Deo dilantik sebagai pengerusi dan Lim Guan Eng menjadi penasihat, di sebalik gesaan agar pemimpin veteran beri laluan kepada generasi baharu.

Beberapa tokoh dilihat sehaluan dengan Lim gagal terpilih ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, termasuk Teresa Kok, V Ganabatirau dan Lim Lip Eng, apabila perwakilan menyokong pembaharuan kepimpinan.

Pada masa sama, tercetus bantahan terhadap pemindahan sebuah kuil Hindu berusia 130 tahun di Jalan Masjid India bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid baharu, sehingga Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Jemaah Menteri mencari penyelesaian secara rundingan. Isu itu akhirnya selesai apabila pengurusan kuil bersetuju berpindah 50 meter dari lokasi asal.

putra heights
Kebakaran saluran paip gas di Putra Heights menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan menyebabkan ratusan keluarga mencari perlindungan.

April: Letupan Putra Heights, kehilangan Pamela Ling

April digemparkan dengan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang menyaksikan api menjulang lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Tiada kematian dilaporkan, namun 150 mangsa mendapatkan rawatan di hospital, manakala bomba mengambil masa hampir lapan jam untuk memadam kebakaran yang memusnahkan 81 rumah dan menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Bulan sama turut dikejutkan dengan kehilangan misteri seorang ahli perniagaan kelahiran Sarawak, Pamela Ling, 42, yang didakwa diculik ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan sebagai saksi kes pengubahan wang haram. Lapan suspek dan lima kenderaan dipercayai terlibat, dengan dua individu dilihat memakai ves polis dalam rakaman CCTV. Ling masih belum ditemui.

Mei: Rafizi kalah pemilihan PKR letak jawatan

Ketegangan memuncak dalam PKR ketika pemilihan parti apabila Rafizi Ramli menyerang beberapa pemimpin ketika mempertahankan jawatan timbalan presiden, dicabar Nurul Izzah Anwar yang mendapat sokongan lebih 200 cabang.

Rafizi akhirnya tewas, manakala beberapa sekutunya gagal terpilih termasuk Nik Nazmi Nik Ahmad yang tewas dalam mempertahankan jawatan naib presiden. Rafizi kemudian meletak jawatan sebagai menteri ekonomi dan Nik Nazmi melepaskan kerusi menteri sumber asli dan kelestarian alam, jawatan yang hanya diisi secara tetap dalam rombakan Jemaah Menteri pada Disember.

Jun: Nahas UPSI, pembunuhan pelajar Cyberjaya, Syed Saddiq bebas

Pada 9 Jun, kemalangan maut awal pagi mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam nahas bas paling tragis dalam lebih sedekad. Pemandu bas berkenaan kini dibicarakan atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Pembunuhan pelajar berusia 20 tahun, Maniishapriet Kaur Akhara, di unit kediaman universiti di Cyberjaya mencetuskan kemarahan awam, dengan dua remaja berusia 19 tahun didakwa.

Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, memutuskan beliau sepatutnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Bekas perdana menteri Najib Razak dilepas tanpa dibebaskan dalam kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana SRC International, selepas mahkamah mendapati tidak mungkin kes itu dapat diteruskan dengan segera dalam masa terdekat.

Julai: Tarif AS, kematian Zara

Amerika Syarikat mengenakan tarif 25% ke atas eksport tertentu dari Malaysia, yang menurut Presiden Donald Trump “jauh lebih rendah” daripada kadar diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan. Kadar itu dikurangkan kepada 19% sebulan kemudian susulan rundingan.

Negara turut dikejutkan dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar, Sabah. Lima remaja didakwa atas kesalahan menghina secara lisan, manakala inkues ke atas kematiannya masih berjalan.

Ogos: Gempa di Johor, pegawai perisikan ditahan

Johor digegarkan dengan beberapa gempa bumi kecil sehingga September, dengan gegaran terkuat mencatatkan skala 4.1 Richter dan menyebabkan kerosakan harta benda.

Negara juga dikejutkan dengan penahanan lima pegawai kanan perisikan tentera yang didakwa ada kaitan dengan sindiket penyeludupan besar, lalu mencetuskan gesaan supaya sistem perisikan negara dirombak.

September: Kontroversi FAM, subsidi RON95 bersasar, krisis Bersatu

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dimalukan apabila Fifa menghukum persatuan itu dan tujuh pemain naturalisasi kerana mengemukakan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit sempena kelayakan Piala Asia.

September juga menyaksikan pelaksanaan subsidi petrol RON95 bersasar, serta ketegangan memuncak dalam Bersatu yang membawa kepada pemecatan seorang Ahli Parlimen dan penggantungan seorang lagi.

DONALD TRUMP ANWAR IBRAHIM
Presiden AS Donald Trump melawat Malaysia sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47, dan memeterai perjanjian timbal balas dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Oktober: Kes tikam di sekolah, Trump lawat Malaysia

Pada 14 Okt, pelajar berusia 16 tahun, Yap Shing Xuen, maut selepas ditikam oleh pelajar junior di SMK Bandar Utama Damansara (4), kes yang mengejutkan negara dan membawa kepada larangan media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.

Trump turut menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur dan memeterai perjanjian perdagangan dengan Anwar yang memberi kadar tarif 0% kepada produk Malaysia tertentu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Sabah berhak kepada 40% hasil persekutuan daripada negeri itu, menyatakan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah selama hampir lima dekad.

November: PRN Sabah, Raymond Koh dan Amri Che Mat

Pada 5 Nov, Mahkamah Tinggi mengarahkan kerajaan dan polis membayar pampasan kepada keluarga Raymond Koh dan keluarga Amri Che Mat atas kehilangan paksa mereka.

PRN Sabah ke-17 menyaksikan parti tempatan menang besar, dengan DAP, PKR, Umno dan Bersatu mengalami kekalahan teruk. Ia menyaksikan GRS mengatasi Warisan dari segi kerusi namun gagal peroleh majoriti untuk membentuk kerajaan. Pengerusi GRS Hajiji Noor mengangkat sumpah penggal kedua sebagai ketua menteri dengan sokongan semua parti kecuali Warisan.

Disember: Rombakan Jemaah Menteri, Najib dihukum lagi, PN bergolak

Anwar melakukan rombakan Jemaah Menteri kedua sejak 2022. Keputusan mahkamah bagi dua kes tidak memihak kepada Najib Razak. Pada 22 Dis, mahkamah menolak permohonan bekas presiden Umno untuk untuk menjalani tahanan rumah. Empat hari kemudian, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, dan denda RM11.387 bilion, ke atas Najib Razak susulan sabitan dalam kes 1MDB.

Menuju akhir tahun, Perikatan Nasional bergolak apabila Menteri Besar Perlis Shukri Ramli meletak jawatan. Peristiwa itu disusuli dengan Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan pengerusi PN berkuatkuasa 1 Jan 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.