PAS hanya sokong dan undi penyandang pada PRN, kata pesuruhjaya negeri

PAS hanya sokong dan undi penyandang pada PRN, kata pesuruhjaya negeri

Kamarudin Sidek berkata, ia dilakukan bagi menepati status quo serta persetujuan dicapai bersama PAS sebelum ini.

Kamaruddin Sidek berkata, seboleh-bolehnya PAS cuba mengelak berlaku pertembungan antara BN-PN. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS hanya akan menyokong penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka jika berlaku pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri, 20 Nov ini, kata Pesuruhjaya PAS Melaka Kamarudin Sidek.

Jelasnya, jika PN menerusi Bersatu bertanding di kerusi DUN milik BN, PAS akan menyokong serta berkempen untuk BN walaupun lawannya dari gabungan sama.

“Pendirian ini jelas dan kita akan menyokong serta berkempen untuk penyandang kerusi itu. Begitu juga jika Bersatu penyandang dan BN bertanding, maka kita sokong dan kempen untuk Bersatu.

“Ini sudah jelas seperti mana persetujuan dicapai sebelum ini dan menepati “status quo”,” katanya ketika dihubungi FMT.

Justeru, Kamaruddin memaklumkan pihaknya cuba mengelak daripada berlaku pertembungan kerusi di semua 28 Kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, menyokong penyandang menjadi formula parti ini sekiranya berlaku pertembungan sesama sendiri.

Pada masa sama, PAS juga akan mengundi penyandang kerusi sekiranya berlaku pertandingan antara Umno dan Bersatu pada hari pembuangan undi.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat formula digunapakai PAS dilihat berada dalam keadaan tersepit di antara kerjasama dengan Umno atau Bersatu dan hanya akan menyulitkan keadaan.

Sementara itu, Kamarudin turut memberitahu agihan kerusi antara PN dan BN masih lagi berlangsung yang melibatkan pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti.

RALAT:
Berita ini sebagai ganti kepada berita bertajuk “PAS tidak akan beri undi jika BN-PN bertembung di PRN Melaka, kata pesuruhjaya negeri” yang disiarkan FMT sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.