
Biarpun ia menghasilkan beberapa perkhidmatan yang agak penting dalam kehidupan seharian seperti e-dagang, penstriman dan media sosial, ini bermakna kita juga meninggalkan jejak digital yang lebih besar berbanding sebelum ini dan ia boleh dimanfaatkan oleh syarikat tertentu.
FMT bertanya kepada seorang pakar untuk mengetahui mengapa syarikat tertentu “menjejak” anda dan sama ada kita perlu bimbang dengan keadaan itu serta bagaimana untuk mengurangkan jumlah maklumat yang dapat dikumpul olehnya.
SL Rajesh daripada Persatuan Antikeganasan dan Profesional Keselamatan Antarabangsa faham mengenai kepentingan keselamatan siber dan mengapa pengesanan dan pengumpulan data seseorang individu boleh mengundang kerisauan.
Bagaimanapun katanya, dalam kebanyakan kes, tidak banyak kebimbangan mengenai perkara itu.
“Akhirnya, syarikat ini ingin membuat keuntungan tetapi ia bukanlah cara terbaik untuk melakukannya dengan menggunakan maklumat anda dengan ‘niat jahat’,” katanya kepada FMT.
“Secara amnya, mereka ingin mengumpul data kerana boleh mendapatkan keuntungan daripada maklumat itu. Misalnya, syarikat seperti Google mempunyai data tertentu mengenai pengguna yang mungkin menarik minat sebuah syarikat pakaian bagi membolehkan mereka melakukan strategi pemasaran disasarkan kepada pelanggan tertentu.”
Bagaimana ia berlaku
Dunia yang saling berhubung ini membolehkan peranti kita mendapat maklumat mengenai rutin dan minat masing-masing dan maklumat itu kemudiannya boleh dimanfaatkan.
Rajesh berkata: “Katakan anda mengetik iklan BMW secara rambang. Kini, mana-mana syarikat yang menjejaki anda tahu anda berminat dengan BMW. Ia juga membuat tanggapan bahawa anda berada di bawah kategori pendapatan tertentu yang membolehkan anda mampu memiliki kereta jenis itu dan akan mengiklan produk lain yang dicari individu dalam kategori pendapatan sama seperti jam dan barangan kemas.
“Perkara sama berlaku sekiranya anda sering ke kedai tertentu. Disebabkan telefon pintar anda mempunyai penjejakan GPS, syarikat tertentu akan mengetahui bahawa anda cenderung ke restoran Thai yang sama di Ampang dan mungkin mencadangkan restoran Thai lain atau restoran di kawasan sama memandangkan anda sering ke situ mencari jenis makanan berkenaan.”
Pelanggannya juga sering mengadu tentang kemungkinan telefon pintar mereka “mendengar” apabila sering mendapat iklan yang tidak pernah dicari tetapi hanya pernah disebut sahaja sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, ia tidak mungkin terjadi.
“Anda rasa syarikat itu tidak ada perkara lain untuk dilakukan? katanya.
“Daripada berbilion pengguna, anda rasa mereka mahu mendengar perbualan anda dengan rakan? Mungkin juga anda terlupa pernah mencari barangan itu secara dalam talian atau seseorang yang anda kenal pernah mencarinya lalu keluarlah iklan berdasarkan pencarian itu.”
Pastikan ia selamat
Beliau berkata, adalah berbaloi untuk mengamalkan “pembersihan” secara dalam talian walaupun penjejakan data itu tidak berniat jahat.
“Apa yang membimbangkan ialah jika anda dijejak oleh syarikat yang kurang mempunyai reputasi. Google atau Facebook (kini Meta) tidak berminat melakukan jenayah dengan data anda tetapi pastikan anda tidak melawat laman sesawang yang tidak selamat.”
Ada sesetengah laman sesawang memaparkan simbol mangga di sebelah URL yang menunjukkan ia adalah laman yang selamat.
“Jadi berhati-hati sekiranya sesebuah laman sesawang tidak mempunyai simbol itu,” kata Rajesh.
“Anda juga dinasihatkan untuk tidak memberikan maklumat peribadi jika meragui laman sesawang terbabit. Jangan tekan capaian atau iklan secara sembarangan.
“Ketahuilah risiko ketika anda berada dalam talian.”
Sebaik selesai menggunakan internet, adalah lebih baik sekiranya anda membersihkan “cookies” atau sekumpulan data yang ada ketika anda melakukan pencarian untuk membantu anda mencari maklumat selepas ini.
Jika anda melawat semula laman sesawang itu dan mendapati anda masih lagi tidak daftar keluar, ini kerana ia telah mengenal pasti bahawa anda mempunyai akaun di situ.
Ia mengenal pasti melalui “cookies” daripada sesi terakhir anda.
Pengiklan juga meletakkan “cookies” pada laman sesawang dengan kebenaran operator, namun ia hanya untuk mengumpul data untuk sasaran pelanggan mereka.
Rajesh berkata, langkah membersihkan “cookies” adalah langkah mudah yang boleh diambil “sekiranya ia membuatkan anda berasa lebih tenang”.