
Ini sekali gus menyaksikan tiada ruang untuk Bersatu meletakkan calon mereka.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah dipetik berkata, GPS sebelum ini sudah memaklumkan bertanding di semua kawasan, dan keputusan itu kekal.
Berikutan itu katanya, Bersatu sebagai rakan di peringkat persekutuan perlu menghormati pendirian GPS.
“GPS mempunyai komponen sendiri yang terdiri daripada empat parti dan kami sudah berbincang dan mencapai keputusan mengenai pengagihan kerusi,” katanya menurut laporan Berita Harian, selepas melepaskan peserta Sarawak Adventure Challenge 5.0 di Siniawan, Bau.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GPS akan memberi laluan kepada penyandang bagi kawasan DUN Krian, Ali Biju dari Bersatu, untuk mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya ketika mewakili PKR pada 2016.
GPS adalah gabungan empat parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PR), dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sementara itu, Naib Presiden Kanan PBB Fadillah Yusof berkata, PRN12 adalah masanya untuk Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sokongan mereka kepada GPS.
Beliau yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, ia sebagai balasan kepada GPS yang memberi sokongan kepada PN bagi menstabilkan kerajaan persekutuan.
“Seperti yang diketahui, GPS sudah menetapkan untuk meletakkan calon di 82 kawasan. Justeru ini adalah masa untuk PN menunjukkan sokongan kepada GPS dengan membantu dan menyokong GPS pada PRN12 nanti,” katanya ketika lawatan ke tapak pembinaan blok bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat Haji Bolhassan.