Bunuh jutawan, mahkamah kekal hukuman mati

Bunuh jutawan, mahkamah kekal hukuman mati

Mahkamah mendapati keterangan mengikut keadaan yang terlalu banyak mengaitkan perayu dengan pembunuhan itu.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap Izwanuddin Kassim kerana membunuh Yong Boon Cheong.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pencuci kapal laut kerana membunuh seorang jutawan, yang mayatnya ditemui rentung dalam ladang kelapa sawit.

Hakim Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel tiga hakim berkata, mahkamah tidak yakin rayuan dikemukakan Izwanuddin Kasim terhadap sabitan itu mempunyai merit.

“Kami berpandangan terdapat keterangan mengikut keadaan yang sangat banyak bagi mengaitkan perayu (Izwanuddin) dengan jenayah itu, kata Ong yang bersidang bersama Zaleha Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal.

Katanya, mahkamah juga mendapati tiada kekhilafan yang boleh dirayu dalam keputusan hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi, yang dapatannya turut disahkan Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Abd Ghafar Ab Latif mewakili pendakwaan manakala peguam Rosli Kamaruddin hadir bagi pihak Izwanuddin.

Pada 1 Okt 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Sofian Abd Razak memutuskan pendakwaan telah membuktikan kes tanpa keraguan munasabah terhadap Izwanuddin, 41, bagi pembunuhan Yong Boon Cheong, 54.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Skudai, Danga Bay, Johor Bahru, antara jam 6 hingga 7 pagi pada 4 Julai 2014.

Kes itu mendapat perhatian awam selepas mayat rentung Yong ditemui dalam ladang sawit di Batu Pahat, kira-kira 24 jam selepas dia dilaporkan hilang oleh isterinya.

Dalam perbicaraan, mahkamah diberitahu pertengkaran telah berlaku antara Izwanuddin dan Yong di rumah mangsa, selepas tertuduh mendesak bayaran sejumlah wang untuk membaiki kereta susulan kemalangan antara dua kenderaan dinaiki mereka.

Izwanuddin mendakwa kereta yang rosak itu milik anggota keluarga diraja. Yong bagaimanapun enggan membayar seterusnya pergaduhan tercetus dengan kedua-duanya pergi ke beberapa lokasi lain untuk menyelesaikan isu itu.

Antara lokasi itu termasuk Restoran Singgah Selalu, di mana Yong dilaporkan cuba lari tetapi dihalang Izwanuddin yang menyerang mangsa sehingga menyebabkannya mengalami pendarahan di muka.

Menurut keterangan, Izwanuddin turut menghubungi rakannya, warga Singapura Noriskandar Zainal Yahya untuk membantunya menyelesaikan isu itu. Noriskandar turut didakwa bersama atas tuduhan bunuh itu tetapi kemudian mengaku salah atas tuduhan pindaan, membantu melupuskan bahan bukti.

Yong dilaporkan maut akibat ditikam, sebelum mayatnya dibakar di ladang sawit berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.