
Ini disebabkan Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.
Ia bermakna saman yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang tiga tahun lalu dikembalikan semula.
Menerusi prosiding secara maya, panel tiga hakim dipengerusikan Kamaludin Md Said turut memerintahkan Teng membayar kos RM75,000 kepada Lim.
Kamaludin yang disertai Supang Lian dan Mariana Yahya, dimaklumkan oleh peguam kedua-dua pihak bahawa mereka bersetuju untuk tidak meneruskan rayuan susulan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.
Pada 26 Feb, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan rayuan dalam saman fitnah terhadap kumpulan hak asasi Melayu Perkasa yang melabelnya sebagai pengkhianat kerana didakwa mendedahkan rahsia negara kepada kerajaan Singapura.
Hakim Harmindar Singh Dhaliwal yang mewakili hakim membuat keputusan majoriti itu berpendapat Lim boleh meneruskan saman berkenaan berdasarkan kapasiti peribadinya.
Harmindar berkata, reputasi adalah faktor, tidak kira sama ada plaintif telah mengambil tindakan itu dalam kapasiti peribadi atau awamnya.
Lim yang diwakili Mureli Navaratnam hari ini memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya melalui persetujuan.
Kamaludin menetapkan tarikh pengurusan kes pada 22 Nov di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Manakala itu Harpal Singh yang mewakili Teng memberitahu FMT bahawa anak guamnya akan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Lim untuk menyelesaikan perkara itu.
Saman Lim terhadap Teng dibatalkan pada 2018 atas alasan Lim tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu sebagai Ketua Menteri.
Lim memfailkan saman terhadap Teng susulan kenyataan dibuatnya pada November 2016 mengenai perjanjian oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berkaitan sebidang tanah di Pulau Jerejak.
Beliau turut menamakan Star Media Group Berhad, editornya, wartawan David Tan dan Crystal Chiam Shiying sebagai defendan susulan laporan mereka yang mencetuskan kontroversi.
Syarikat penerbitan milik MCA itu menyelesaikan kes dengan Lim di luar mahkamah.