Remaja bawa kes halang vaksinasi ke Mahkamah Rayuan

Remaja bawa kes halang vaksinasi ke Mahkamah Rayuan

Saman itu menamakan kerajaan, Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, sebagai responden.

Kumpulan remaja itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas permohonan mendapat izin melakukan semakan kehakiman ditolak atas alasan proses vaksinasi adalah secara sukarela dan tidak melanggar hak peribadi. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Tujuh remaja yang mahu proses vaksinasi terhadap golongan itu dihentikan kini membawa kes mereka ke Mahkamah Rayuan.

Tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan izin semakan kehakiman terhadap proses vaksinasi, sementara menunggu keputusan klinikal antara lain membabitkan penggunaan Ivermectin.

Dalam saman berkenaan, mereka menamakan kerajaan, Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan, serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, sebagai responden.

Ibu bapa perayu dinamakan dalam saman itu, namun identiti semua remaja berkenaan dirahsiakan bertujuan melindungi privasi, selain perayu masih di bawah umur dan tidak boleh mengemukakan saman secara bersendirian.

Peguam mewakili mereka, Lee Khai, berkata rayuan itu sudah difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, semalam.

Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Wong Hok Chong menolak permohonan itu kerana proses vaksinasi adalah dasar kerajaan berasaskan dapatan saintifik dan perubatan, manakala mahkamah tiada bidang kuasa terhadapnya.

Katanya, justeru, perkara itu tidak sesuai diadili mahkamah, sebaliknya lebih baik diserahkan kepada badan eksekutif yang mendapat pandangan serta dapatan daripada pakar berkaitan.

“Bukanlah semua keputusan seperti itu tidak boleh diadili secara umumnya. Perkara itu ditentukan berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Wong berkata, proses vaksinasi juga adalah secara sukarela dan tidak melanggar hak asas pemohon seperti didakwa.

Katanya, sekiranya ibu bapa remaja terlibat bimbang pelajar yang tidak divaksin dihalang hadir ke sekolah, mereka sepatutnya mencabarnya jika itu berlaku.

Katanya, pemohon juga tiada hak undang-undang bagi menuntut perintah mandamus untuk memaksa kerajaan mendedahkan risiko vaksin Pfizer, melaksanakan program Ivermectin dan sebagainya. Katanya, kerajaan tidak mempunyai kewajipan undang-undang berbuat demikian.

Susulan itu beliau turut menolak permohonan menangguhkan program vaksinasi yang dituntut pemohon.

Selain Lee, peguam lain yang mewakili pemohon adalah Eric Cheah, Teh Chiew Yin dan Nicole Koh. Kerajaan pula diwakili Peguam Persekutuan Suzana Atan, Narkunavathy Sundareson, Noor Atiqah Zainal Abidin, Mohammad Sallehuddin Md Ali, dan Rahazlan Affandi Abdul Rahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.