Ahli Parlimen cadang tubuh panel pemerhati MITRA dwipartisan

Ahli Parlimen cadang tubuh panel pemerhati MITRA dwipartisan

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, 30% anggota jawatankuasa itu boleh terdiri daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Baru-baru ini, SPRM dilaporkan bersedia mengambil tindakan terhadap sembilan syarikat atas penyalahgunaan dana MITRA sebanyak RM26 juta.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan sebuah jawatankuasa dwipartisan dibentuk dalam Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi mengelakkan penyalahgunaan dana untuk rakyat miskin.

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, 30% anggota jawatankuasa itu boleh merangkumi Ahli Parlimen pembangkang dan audit tahunan MITRA juga harus dilakukan Jabatan Audit Negara.

“Audit ini berguna untuk mengesan penggunaan dana,” katanya kepada FMT sambil menambah pegawai MITRA perlu diberi latihan dalam pengurusan kewangan, akauntabiliti, mengesan aliran wang dan melaporkan masalah yang timbul.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, G Manivannan pula mendesak siasatan rasmi dilakukan terhadap penyalahgunaan dana MITRA setakat ini yang mungkin menyebabkan ribuan orang India miskin terlepas peluang pendidikan serta perniagaan.

“Pengauditan bebas sewajarnya amat penting untuk menyiasat perkara ini,” katanya kepada FMT.

Bagi memastikan peruntukan bawah Bajet 2022 tidak disalahgunakan, katanya, sebuah majlis terdiri daripada pembangkang dan kerajaan harus ditubuhkan dalam MITRA untuk mengawasi perkara berkaitan kelulusan dan penggunaan dana terbabit.

Pada 29 Okt lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mula menyiasat semua penerima dana MITRA sejak 2019, menyebabkan beberapa pemimpin pembangkang mendesak siasatan bagi mengesan semua individu bertanggungjawab.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, wang untuk golongan miskin itu mungkin digunakan untuk membiayai ahli politik dan parti sejak bertahun-tahun.

Beliau mencadangkan satu pelan induk disediakan bagi lima tahun akan datang, dengan laluan jelas bagi setiap peringkat pembiayaan.

“Pelan itu mesti menunjukkan laluan jelas siapa yang akan dibantu. Jika (wang itu) untuk pendidikan, di tahap mana mereka ingin biayai? Jika mereka mahu membiayai usahawan, apakah jenis perniagaan yang mahu dibantu?” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, MITRA tidak perlu membiayai program agensi lain seperti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), begitu juga untuk pemerkasaan wanita dan belia.

Katanya, cadangan itu mesti mendapat kelulusan komuniti serta badan bukan kerajaan (NGO), dan pelan lima tahun boleh merangkumi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak pada 2017.

“Ia adalah pelan bagus dan memahami masalah yang dihadapi komuniti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.