Pesawat Hawk milik TUDM terhempas di Butterworth, seorang dilaporkan maut

Pesawat Hawk milik TUDM terhempas di Butterworth, seorang dilaporkan maut

Nahas dilaporkan berlaku jam 10.07 malam di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth.

Pesawat pejuang Hawk milik TUDM yang terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth malam ini. TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden itu. (Gambar Facebook TUDM)
PETALING JAYA:
Pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan terhempas di Butterworth malam ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, insiden berlaku jam lebih kurang jam 10.07 malam di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth.

“Pihak TUDM kini sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa berhubung insiden kemalangan ini.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein dalam ciapannya di Twitter turut memaklumkan kejadian itu dan dukacita menerima berita berkenaan.

“Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal (Abdul Samad) memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yg terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian.

“Takziah kepada keluarga anggota TUDM yang maut dan seorang lagi yang cedera,” katanya.

Hishammuddin berkata, pihaknya difahamkan, anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera.

Katanya, Kementerian Pertahanan (MINDEF) juga telah diarah untuk menyalurkan apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.