Bersatu cuba paksa kami tunduk tapi tak berjaya, kata pemimpin BN

Bersatu cuba paksa kami tunduk tapi tak berjaya, kata pemimpin BN

Penasihat Komunikasi BN Isham Jalil berkata Perikatan Nasional pimpinan Bersatu cuba untuk menjatuhkan Umno dan kemudiannya tunduk kepada kehendak mereka.

PN tidak berhasrat memenangi PRN Melaka kerana tiada sokongan akar umbi sebaliknya niat mereka hanya untuk memecahkan undi BN, menurut Isham Jalil. (Gambar Facebook)
AYER KEROH:
Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) mendakwa langkah Perikatan Nasional (PN) merebut semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka adalah bertujuan untuk memecahkan undi Melayu dan memastikan BN kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) negeri itu.

Penasihat Komunikasi BN Isham Jalil berkata, PN pimpinan Bersatu cuba menjatuhkan Umno dan kemudiannya memaksa Umno tunduk kepada kehendak mereka.

Bercakap kepada FMT, beliau percaya bahawa Bersatu mahu Umno melepaskan tuntutannya terhadap semua kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14).

Katanya, Bersatu perlu “berfikir semula” sekiranya ia percaya bahawa memecahkan undi Melayu akan memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) dan menyebabkan Umno terpaksa berunding untuk menyertai PN.

“Kami tidak akan dijadikan ‘tebusan’,” katanya.

“Ini hanya akan menguatkan lagi tekad kami.”

Isham berkata, beliau juga percaya bahawa PN tidak berhasrat untuk memenangi pilihan raya itu kerana tiada sokongan akar umbi sebaliknya niat mereka hanyalah untuk memecahkan undi BN.

Katanya, BN mempunyai peluang cerah untuk menang tetapi tambahnya: “Kami tidak mahu terlebih yakin.”

Beliau mendakwa, menurut kajiannya, sentimen yang memihak kepada BN adalah jauh lebih baik berbanding ketika PRU14 apabila sokongan Melayu turun kepada 65%.

“Jika kita berjaya mendapat 70% hingga 75% sokongan Melayu, kita mungkin dapat menang di 17 kerusi. Namun kita perlu bekerja keras.”

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata, gabungan itu boleh memenangi 18 kerusi dan membentuk kerajaan negerinya sendiri.

Mohamad berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan kajian yang dilakukan oleh BN ketika tempoh berkempen selain data yang menunjukkan pengundi konsisten mengundi gabungan itu sebelum PRU14.

Isham berkata, beliau juga berharap PAS akan terus bekerjasama dengan Umno.

Katanya, beliau bersemangat melihat ahli PAS membantu BN memasang bendera di kawasan mereka.

“Kita juga mahu mereka yang berada dalam Bersatu kembali kepada Umno. Bagaimanapun, saya tahu, berdasarkan sejarah, ia tidak akan berlaku sehingga ia kalah. Oleh itu, kami perlu menang menentang PN.”

Proses pengundian PRN Melaka akan diadakan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.