‘Masa PN, duit ada, ekonomi baik’, Hadi mahu kemenangan besar untuk sekutu politik

‘Masa PN, duit ada, ekonomi baik’, Hadi mahu kemenangan besar untuk sekutu politik

Presiden PAS itu turut menggambarkan PN sebagai ikatan baharu yang kukuh, justeru layak diberi mandat menubuhkan kerajaan negeri baharu.

Abdul Hadi Awang berkata, orang Melayu, Cina dan India boleh bersatu dengan baik atas Perikatan Nasional.
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menggesa pengundi Melaka memberikan Perikatan Nasional (PN) “kemenangan besar” esok berdasarkan keadaan yang didakwanya sebagai rekod cemerlang gabungan itu ketika menerajui negara.

“Perikatan Nasional, sebaik sahaja kita mengambil alih, banyak perkara kita buat, duit pun ada. Boleh bagi bantuan masa Covid-19, boleh tolong, berjalan dengan lancar. Suasana ekonomi pun baik,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

PAS ialah sekutu PN pimpinan Muhyiddin Yassin yang menerajui negara selama 17 bulan selepas menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton Feb tahun lalu.

Sepanjang tempoh itu, Muhyiddin dikekang oleh majoriti rapuh di Parlimen selain terpaksa menangani kemelut ekonomi serta masalah pengangguran serius akibat wabak Covid-19.

Sehari sebelum pengundian pada pilihan raya negeri Melaka, Hadi menyifatkan PN sebagai “ikatan baharu yang kukuh” yang patut diberikan mandat untuk menubuhkan kerajaan negeri.

“Jadi kita seru semua rakyat, pengundi-pengundi Melaka khususnya memilih calon PN,” Harakahdaily melaporkan.

Hadi juga berkata, orang Melayu, Cina dan India boleh bersatu dengan baik di atas Perikatan Nasional.

“Seboleh-bolehnya kita nak supaya Perikatan Nasional menang besar di Melaka ini,” katanya.

Hadi tidak meramalkan peluang PN mahupun PAS pada PRN Melaka.

PAS yang menggunakan logo PN, akan berdepan dengan calon Umno di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Bersatu, pimpinan Muhyiddin, akan bertembung dengan Umno di 11 kerusi.

PN, BN dan PH akan bertanding di semua 28 kerusi DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.