Penyatuan parti utama Melayu boleh bermula dengan PRN Johor, kata Tuan Ibrahim

Penyatuan parti utama Melayu boleh bermula dengan PRN Johor, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS itu turut gesa kebangkitan gagasan Muafakat Nasional 2.0.

Tuan Ibrahim
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha penyatuan parti-parti Melayu Islam perlu disegerakan, bermula dengan PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa akan datang.
PETALING JAYA:
Penyatuan parti politik utama Melayu, terutamanya PAS dan Umno, boleh bermula dengan PRN Johor, cadang Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam usaha mengembalikan semula kekuatan politik Melayu-Islam di negara ini.

Beliau berkata, perpecahan parti politik Melayu dan kegagalan menyatukan kekuatan politik orang Melayu telah menyebabkan komuniti ini menerima kesan yang berlaku pada hari ini.

Beliau memetik beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian serius, termasuk isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), tindakan membantah titah Raja-Raja Melayu, penukaran status tanah di kawasan majoriti bukan Melayu, serta usaha mencabar enakmen syariah negeri.

“Hal ini seharusnya membuka mata pemimpin utama politik Melayu, khususnya PAS dan Umno, untuk segera bertindak sebelum nasi menjadi bubur.

“Usaha penyatuan ini perlu disegerakan, bermula dengan mendepani PRN Johor, dan terus diperkukuh pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook.

Terdahulu dilaporkan Pesuruhjaya PAS Johor Mahfodz Mohamed berkata, PAS sedia bekerjasama dengan pihak selain PN sekiranya selari dengan hasrat mereka untuk memperkukuh penyatuan ummah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan Gerakan Reset yang diasaskan oleh bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin serta Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa parti-parti politik Melayu pernah bersama ketika mendepani pelbagai cabaran dalam sejarah negara.

“Kita pernah menyaksikannya selepas peristiwa 13 Mei, apabila Barisan Nasional (BN) terbentuk. Muafakat Nasional pula terbentuk akibat kebimbangan terhadap usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu yang dilihat boleh menghakis keamanan dan keharmonian rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru, menurutnya, sudah sampai masanya untuk gagasan Muafakat Nasional 2.0 dijayakan.

“PAS amat mengharapkan semua parti utama, khususnya parti-parti Melayu di negara ini, dapat berfikir secara serius, berlapang dada, mengetepikan perbezaan, serta meletakkan masa depan bangsa dan ummah sebagai keutamaan,” katanya.

DUN Johor dibubarkan Isnin lepas, sekali gus membuka laluan kepada PRN ke-16 yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Sebelum itu, BN membentuk kerajaan negeri dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi yang dimenangi pada PRN 2022.

Pada PRN tersebut, PH menang 12 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.