
PRN Melaka sudah pun menyaksikan beberapa norma baharu, umpamanya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob “tidak banyak” turun padang berkempen untuk partinya.
Ini mungkin kerana realiti politik kerajaan “Keluarga Malaysia” yang beliau dirikan bersama Umno-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). Kawan di Putrajaya tetapi lawan di Melaka!
Selain prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, Umno juga menghadapi pilihan raya ini dengan kekangan lain seperti kewangan terhad untuk jentera pilihan rayanya, berbanding masa-masa “gemilang” dahulu.
Bagi PAS, ini adalah kali pertama sejak 1974 parti itu merehatkan bendera bulan purnama dan memakai logo PN, sekali gus menolak lamaran Umno, sekurang-kurangnya untuk PRN Melaka.
Namun, parti yang menanggung risiko tertinggi adalah Bersatu pimpinan Muhyiddin, penggerak utama PN yang bergantung kepada PAS sebagai rakan sekutu utama.
Nasib parti-parti berkenaan dalam PRN Melaka esok berkemungkinan membawa kepada jajaran politik baharu melibatkan pertukaran rakan sekutu masing-masing bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU15), kata penganalisis.
“Keputusan PRN Melaka ini akan menentukan nasib PN atau lebih tepat nasib Bersatu. (Bagi) Umno (parti itu) menang besar atau kalah teruk, tak ada isu sebab dia tetap bergerak solo sama juga dengan Pakatan Harapan, mereka akan tetap jadi pembangkang.
“Jika PAS menarik diri daripada PN, maka Bersatu secara bersendirian memang mustahil. Jadi keputusan (PRN) ini memang penting kerana ia menentukan hidup mati mereka dalam politik,” kata penganalisis Azmi Hassan kepada FMT.
Sejumlah 23 daripada 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka adalah kerusi majoriti Melayu dan menjadi medan persaingan Umno, Bersatu, PAS, PKR dan Amanah.
Dengan hari mengundi kurang 24 jam, Umno kelihatan yakin mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.
Rabu lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, BN yakin memenangi 18 daripada 28 kerusi namun akan berpuas hati sekiranya memperolehi 15 kerusi untuk membolehkannya membentuk kerajaan negeri.
BN bertanding di semua 28 kerusi DUN. Calon Umno dicabar oleh PAS di tujuh kerusi dan Bersatu di 11 DUN lain. Umno juga berdepan PKR atau Amanah di 18 DUN.
Perkembangan itu memberikan PH kelebihan kerana undi Melayu berpecah, kata seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Awang Pawi.
“Undi Melayu itu sendiri sudah berpecah dua. Ini berikan sedikit peluang kepada Pakatan Harapan. Tapi kita kena ingat bahawa Melaka ini pernah jadi kubu kuat Umno,” katanya.
Awang juga bersetuju bahawa Bersatu ketika ini menggalas beban besar untuk mencapai kemenangan meyakinkan agar terus relevan dalam politik tanah air.
“Bersatu kena menang besar pada PRN Melaka ini untuk menunjukkan parti itu relevan. Jika tidak berjaya, mereka akan dianggap tidak relevan lagi untuk PRU akan datang, malah mereka mungkin akan ditinggalkan parti PAS, (dan) PAS mungkin akan cenderung kepada Umno pula,” katanya.
PH yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim mempunyai gandingan PKR dan Amanah untuk memenangi undi Melayu namun kekuatan gabungan itu yang turut dianggotai DAP, secara tradisi lebih kepada undi bukan Melayu.
Keupayaan PH mendapatkan undi Melayu kali ini juga agak terhakis dengan “pengunduran” Dr Mahathir Mohamad daripada gabungan itu tahun lepas.
Beban PH itu ditambah dengan kemungkinan pengundi bukan Melayu memilih BN untuk menghantar mesej keras kepada PAS dan PN pimpinan Muhyiddin.
Tindakan terbaru kerajaan Kedah pimpinan PAS-PN mahu menutup kedai judi nombor ekor dan mengekang penjualan arak dikecam oleh ramai warga bukan Muslim termasuk pengundi di Melaka yang melihatnya sebagai percubaan untuk menghakis hak mereka.
Justeru, pengundi bukan Melayu berkemungkinan bertindak balas dengan mengundi BN sebagai membalas langkah yang dilihat sebagai keterlanjuran PAS-PN.
Apa yang pasti, PH tidak boleh membentuk kerajaan negeri sekiranya gagal menarik pengundi Melayu dan tidak berupaya mengekalkan tahap sokongan undi bukan Melayu yang diraihnya pada 2018.
PRN Melaka diadakan setelah empat ADUN menarik sokongan kepada Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
Mereka adalah Idris Haron (BN-Sungai Udang); Azman Hassan (BN-Pantai Kundor); Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas); dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Keputusan penuh PRN dijangka diketahui kira-kira 10 malam esok.