Krisis Bersatu tak cukup bagi BN bubar DUN Melaka, kata penganalisis

Krisis Bersatu tak cukup bagi BN bubar DUN Melaka, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata realiti politik di lapangan belum menunjukkan perubahan ketara dalam corak sokongan pengundi untuk BN panggil PRN lebih awal.

Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata penggal pentadbiran Kerajaan Melaka sedia ada dijadualkan berakhir pada tahun ini, dengan DUN akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Krisis melanda Bersatu masih belum memadai bagi Barisan Nasional (BN) terutama dari segi sokongan pengundi untuk membubarkan DUN Melaka untuk memberi laluan kepada PRN lebih awal.
azmi hassan
Azmi Hassan.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata pertimbangan keadaan lawan sememangnya antaranya pertimbangan parti pemerintah dalam memanggil pilihan raya kerana ia dikatakan memberi kelebihan.

Namun dalam konteks Melaka yang penggal pentadbirannya tamat Disember depan, Azmi menjelaskan langkah mengadakan PRN Melaka lebih awal sebagai berisiko untuk BN.

PRN Melaka yang terakhir sebelum ini diadakan pada 20 Nov 2021.

“Belum dapat ditentukan dengan sahih bahawa kehilangan keyakinan penyokong PN akan membuatkan perpindahan undi.

“Jadi dalam hal ini untuk memanggil PRN Melaka lebih awal akan mendatangkan risiko,” kata Azmi kepada FMT.

“BN perlu mengambil masa beberapa bulan lagi untuk menilai sentimen sebenar pengundi Melayu melalui analisis dan tinjauan pendapat sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan PRN.”

Azmi diminta mengulas kemungkinan BN akan mengambil kesempatan untuk mengadakan PRN Melaka dalam masa terdekat susulan kelemahan PN akibat krisis Bersatu ketika ini.

Minggu lalu, empat ketua Bersatu di Melaka berkata Muhyiddin gagal menangani kemelut dalaman parti itu yang secara langsung menjejaskan kewibawaan kepimpinan dan menjadikan prestasi perjuangan Bersatu kelihatan hambar serta rapuh.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Bersatu Alor Gajah Rahim Tamby Chik yang turut mengepalai Bersatu Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub (Jasin); Ramlan Meon (Tangga Batu) dan Jeffri Ibrahim (Hang Tuah Jaya).

Yadzil yang juga ketua pembangkang Melaka dan Adun Bemban telah dipecat setelah didapati melanggar Perlembagaan parti itu.

Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin yang mengetuai Bersatu Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin turut berada dalam ‘radar’ selepas hadir pertemuan digerakkan pasca pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden.

Semalam, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah meletakkan jawatan parti di bahagian terbabit.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpandangan kebanyakan parti politik masih belum bersedia untuk menghadapi PRN Melaka dalam masa terdekat kerana masing-masing berdepan masalah dalaman.

Menurut Syaza, semua parti ketika ini lebih cenderung mengambil pendekatan menunggu kerana merasakan mereka masih memerlukan masa memperbaiki kelemahan organisasi dan strategi politik.

“Bagi Melaka, pada pandangan saya BN mempunyai kelebihan buat masa ini.

“Namun, cabaran utama BN adalah dari segi kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang masih memerlukan masa untuk dimantapkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.