Akmal seru Umno, PAS kerjasama pada PRN Melaka

Akmal seru Umno, PAS kerjasama pada PRN Melaka

Ketua Pemuda Umno berkata parti itu akan pulihkan sokongan dengan berhubung semula dengan pengundi teras Melayu-Bumiputera.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata pengundi teras Melayu bimbang tentang perpecahan dalam komuniti itu kerana kehadiran pelbagai parti. (Gambar Keluar Sekejap)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyeru partinya dan PAS membentuk pakatan bagi PRN Melaka, menyatakan perpecahan politik Melayu melemahkan pengaruh mereka walaupun di kawasan majoriti penduduknya terdiri orang Melayu.

Adun Merlimau berkata, pilihan raya Melaka sepatutnya menjadi kes ujian bagi kerjasama politik antara dua parti Melayu-Muslim terbesar itu, menyebut bahawa Pemuda Umno secara konsisten memperjuangkan perpaduan sejak awal lagi.

“Saya lebih suka Umno-PAS, walaupun PAS tidak menang sebarang kerusi pada PRN Melaka lalu.

“Jika kita mahukan perpaduan Melayu, kita kena mula sekarang. Kita tak boleh hanya bercakap. Kita mesti buktikan di Melaka, walaupun Umno perlu beri laluan kepada PAS (di beberapa kerusi),” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.

Hos, Khairy Jamaluddin, sebelum itu bertanya kepada Akmal sama ada beliau lebih suka Umno bertanding solo atau berganding bahu dengan parti politik lain pada PRN akan datang.

Akmal berkata, pengundi teras Melayu, terutama di kawasan luar bandar dan separa bandar, bimbang tentang perpecahan dalam komuniti itu kerana kehadiran pelbagai parti Melayu.

Beliau berkata, Umno hanya boleh memulihkan kekuatannya dengan menjalin semula hubungan dengan pengundi teras Melayu-Bumiputeranya, sambil menyebut undi yang hilang daripada Umno bukan pergi kepada Pakatan Harapan, sebaliknya kepada PAS dan Perikatan Nasional.

Menjawab soalan Khairy sama ada orang Melayu berasa terancam, Akmal berkata sentimen sedemikian lebih ketara di luar pusat bandar.

“Mungkin orang di Kuala Lumpur tak rasa. Anda boleh datang ke Melaka dan lihat sendiri, pergi ke kampung-kampung,” katanya.

Beliau berkata, seruan ke arah perpaduan ‘bukanlah tentang merampas hak orang lain’, tetapi tentang memastikan orang Melayu ‘rasa selamat dan bersatu’.

Akmal turut menyangkal kebimbangan bahawa pakatan Umno-PAS akan mengetepikan golongan bukan Melayu, dengan berkata rangka kerja Barisan Nasional (BN) yang lebih luas akan kekal utuh.

Pada PRN Melaka 2021, BN menang 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan, manakala PH memperoleh lima dan PN (Bersatu) dua.

Bagaimanapun, Adun Rembia daripada Umno Jailani Khamis berpindah ke blok pembangkang selepas dilaporkan menyertai PAS pada 2023.

Penggal lima tahun DUN Melaka akan berakhir Disember ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.