
Katanya, PAS tidak boleh membiarkan konflik yang tidak berkesudahan dalam Bersatu mengganggu persiapan menghadapi PRU akan datang.
“Kalau ia merencatkan perjalanan PN, maka PAS tidak ada pilihan lain melainkan terpaksa membuat keputusan drastik,” katanya ditemui selepas sidang media amanat Garah dan cadangan penyelesaian kemelut rumah anutan haram.
Bersatu berdepan krisis dalaman selama berbulan-bulan susulan konflik kepimpinan antara Presiden Muhyiddin Yassin dan Timbalannya Hamzah Zainudin.
Krisis itu membawa kepada desakan daripada kedua-dua puak supaya pemimpin masing-masing meletakkan jawatan, selain tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Parlimen termasuk Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah yang dipecat, manakala Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung.
Desakan supaya Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu semakin kuat susulan pertikaian dengan PAS mengenai jawatan pengerusi PN, yang dilepaskannya pada 1 Jan lalu.
Jawatan pengerusi PN pula sehingga kini masih kosong.
Semalam, Naib Presiden, Ronald Kiandee, menggesa Muhyiddin berundur, sekali gus menjadi pemimpin kanan pertama yang secara terbuka meminta Ahli Parlimen Pagoh itu melepaskan jawatan tertinggi Bersatu.
Kiandee, Ahli Parlimen Beluran enam penggal, menuduh Muhyiddin gagal mengurus krisis dalaman Bersatu dan mahu kekal berkuasa dengan harapan suatu hari nanti akan dilantik semula sebagai perdana menteri.
Sementara itu, Fadhli berkata PAS memandang serius kelewatan penyelesaian konflik dalaman Bersatu kerana ia boleh menjejaskan kesiapsiagaan gabungan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan PAS tidak campur tangan dalam urusan dalaman parti itu, sebaliknya hanya mengharapkan penyelesaian segera demi kestabilan PN.
“Cuma kita boleh mendoakan dan mengharapkan supaya selesaikan dengan secepat mungkin,” katanya.
Fadhli berkata, PAS komited memastikan jentera parti berada dalam keadaan siap siaga, namun tidak boleh membawa bersama rakan gabungan yang masih dibelenggu masalah dalaman.
“Kita tidak mampu untuk membawa bersama satu parti yang masih diselubungi konflik dalaman yang tidak berkesudahan,” katanya.