Ingkar SOP, 35 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM4,000 seorang

Ingkar SOP, 35 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM4,000 seorang

Polis turut menahan 15 warga asing kerana pelbagai kesalahan berkaitan imigresen, selain tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Penjaga pusat hiburan itu juga dikenakan kompaun berjumlah RM30,000 kerana pelbagai kesalahan termasuk kesalahan menggaji dan melindungi warga asing. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sebanyak 35 pengunjung sebuah pusat hiburan dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila terlibat dalam aktiviti pusat hiburan di sebuah premis di Jalan Dr Lim Chwee Leong, George Town, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata selain itu polis menahan 15 warga asing kerana pelbagai kesalahan berkaitan imigresen, di samping tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau dipetik Bernama berkata, penjaga pusat hiburan itu juga dikenakan kompaun berjumlah RM30,000 kerana pelbagai kesalahan termasuk kesalahan menggaji dan melindungi warga asing, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu.

Katanya serbuan dilaksanakan pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan dibantu anggota serta pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan.

“Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat menurut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“(Juga) Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998, Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.