‘Abang 888’ dicekup ketika tunggu ‘transporter’, dadah RM1.44 juta dirampas

‘Abang 888’ dicekup ketika tunggu ‘transporter’, dadah RM1.44 juta dirampas

Sindiket itu dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah rentas negeri dan daerah dengan menjadikan Melaka sebagai pusat transit, sebelum ia dibawa ke negara jiran menggunakan laluan air.

Abdul Majid Mohd Ali (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket ‘Abang 888’ melibatkan 40kg dadah disyaki syabu bernilai RM1.44 juta pada sidang akhbar di Melaka hari ini. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Polis Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah “Abang 888” dengan penahanan seorang warga Indonesia dan merampas 40kg dadah disyaki syabu bernilai RM1.44 juta dalam serbuan di sebuah inap desa di Pantai Puteri di sini pada 18 Nov lepas.

Ketua Polis Melaka, Abdul Majid Mohd Ali berkata, lelaki berumur 39 tahun yang memasuki negara ini sejak tiga tahun lepas untuk bekerja sebagai buruh itu ditahan dalam serbuan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira 8 malam.

Beliau berkata, dadah berkenaan dibungkus menggunakan pembungkus teh bagi mengaburi pihak polis dan disimpan dalam dua beg pakaian yang dibawa suspek ketika menginap di rumah berkenaan.

“Sindiket ‘Abang 888’ ini dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah rentas negeri dan daerah dengan menjadikan Melaka sebagai pusat transit, sebelum dadah berkenaan dibawa ke negara jiran menggunakan laluan air.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek dipercayai sedang menunggu ‘transporter’ atau pengangkut dipercayai dari Indonesia menggunakan bot untuk membawa keluar dadah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata, ujian saringan urin ke atas lelaki berkenaan mendapati negatif dadah dan suspek direman tujuh hari bermula 19 Nov lepas bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, risikan dan pemantauan ke atas pergerakan sindiket “Abang 888” dilakukan sejak tiga bulan lepas bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terlibat dan mereka dipercayai aktif menggunakan Melaka sebagai pusat transit pengedaran dadah sejak sebulan lepas.

Majid berkata, sindiket pengedaran dadah di Melaka dilihat menunjukkan trend perubahan kerana mereka kini menumpukan untuk merekrut warga asing sebagai ejen atau “keldai dadah” berbanding warga tempatan.

Sementara itu, Majid berkata, polis Melaka merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM13.16 juta sejak 1 Jan hingga 20 Nov lalu berbanding dadah berjumlah RM487,283.35 sepanjang tahun lepas.

“Peningkatan rampasan dadah di Melaka bukan bermaksud aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah tidak dapat dikawal, sebaliknya ia menunjukkan keberkesanan aktiviti penguatkuasaan dalam usaha membanteras aktiviti tersebut.”

Katanya, pendekatan menangani aktiviti penyalahgunaan atau pengedaran dadah diubah dengan memberi fokus kepada pergerakan akar umbi serta meningkatkan risikan berbanding kaedah konvensional sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.