
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menggesa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan di Parlimen kenapa kerajaan “mudah” mempertimbangkan pemberian hartanah itu.
“Ini bukan nak menyanggah secara peribadi hak YB Pekan (Najib), tetapi secara prinsipnya bagaimana mungkin kerajaan dan Jemaah Menteri dalam keadaan kemelut ekonomi parah sekarang boleh dengan mudah meluluskan wang begitu besar kepada seorang mantan Perdana Menteri.
“Jadi, kita minta menteri (kewangan) beri penjelasan apa yang berlaku. Memang kita tahu ada dalam undang-undang (peruntukan kepada bekas Perdana Menteri), tetapi kita nak tahu berapa yang diperolehi dan mengapa Jemaah Menteri boleh setuju dengan mudah,” katanya di Dewan Rakyat.
Mohamad Sabu (PH-Kota Raja), ketika bangkit mencelah secara menyindir bertanyakan sama ada Ketua Pembangkang itu bersetuju supaya kerajaan memberikan imbuhan besar kepada semua bekas Perdana Menteri, walaupun negara akan bankrap.
“Memandangkan jasa bekas Perdana Menteri, boleh tak Ketua Pembangkang setuju dengan saya, Tunku Abdul Rahman diberi pampasan RM1 bilion sebagai Bapa Kemerdekaan, Abdul Razak Hussein, Bapa Pembangunan RM500 juta, Hussein Onn Bapa Perpaduan cukuplah RM300 juta.
“Dr Mahathir Mohamad, Bapa Pembangunan Moden kita bagi RM2 bilion, Abdullah Ahmad Badawi RM100 juta, Najib RM100 juta, buat negara bankrap pun tak apa, yang penting imbuhan kepada bekas Perdana Menteri begitu penting, setuju Ketua Pembangkang?” soalnya.
Anwar berkata, imbuhan terlalu tinggi kepada bekas Perdana Menteri akan membebankan kewangan negara.
“Saya percaya kalau ikutkan pengalaman, tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak tak perlu imbuhan dana kerana mereka kasih kepada negara, ini berbeza dengan yang lain.”
Khamis lalu, Tengku Zafrul memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan menerima persetujuan Najib untuk menerima satu daripada tiga hartanah ditawarkan kerajaan, sejajar peruntukan undang-undang.
Beliau berkata demikian sebagai penjelasan kepada Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa hartanah itu bernilai RM100 juta.
Sehari kemudian, Najib menarik balik hasrat untuk menerima tawaran kerajaan itu kerana tidak mahu ia dijadikan isu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka Sabtu lalu.
Beliau menjelaskan tawaran hartanah itu sememangnya diperuntukan mengikut Akta Ahli Parlimen Saraan 1980, Pindaan 2003. Sejajar dengan itu, kerajaan telah memintanya memilih satu daripada tiga bidang tanah.
Najib menjelaskan kelayakan untuk beliau peroleh tanah belum diluluskan lagi walaupun permohonan dibuat sejak 2018.