
“Itu adalah pertukaran biasa kerana sudah cukup tempoh untuk jawatan Pesuruhjaya PAS negeri bagi tiga penggal jadi ia tiada kena mengena dengan keputusan PRN.
“Namun jawatan tersebut boleh dilantik semula selepas ‘rehat’ satu penggal dan saya masih kekal sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
PRN Melaka menyaksikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong dimenangi Mohd Noor Helmy Abdul Halem daripada Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan enam penjuru antara Kamarudin, Gan Tian Soh (Bebas), Mohd Faizal Amzah (Putra), Damian Yeo Shen Li (DAP) dan Muhamad Hafiz Ishak (Bebas).
Mohd Noor Helmy menang dengan majoriti 200 undi.
Kamarudin berkata, tumpuannya kini adalah untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan memperkukuh Perikatan Nasional (PN) demi politik orang Melayu dan Islam.
Katanya, beliau berharap parti itu terus berkembang khususnya di Melaka dan menjadi wadah perjuangan Islam yang menyatukan ummah.
“Tahniah juga kepada Tuan Guru Haji Zulkifli Haji Ismail atas pelantikan sebagai Pesuruhjaya PAS negeri yang baharu dan tentunya saya akan beri sokongan kepadanya yang memimpin parti itu di Melaka,” katanya.
Terdahulu, PAS mengumumkan Pesuruhjaya PAS Melaka diganti dengan Ketua Dewan Ulama PAS Melaka Zulkifli Ismail.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, hanya Kamarudin tidak dikekalkan bagi sesi 2021-2023 manakala 13 lagi pesuruhjaya negeri masih penyandang sama.
Takiyuddin dipetik sebagai berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Kali Kedua, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada 21 Nov 2021 yang dipengerusikan Presidennya Abdul Hadi Awang.