Maszlee sah sertai PKR esok

Maszlee sah sertai PKR esok

Pengumuman akan dibuat di Simpang Renggam, Johor, petang esok.

PETALING JAYA:
Selepas beberapa bulan berstatus sebagai wakil rakyat bebas, Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik akan menyertai PKR esok.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse ketika dihubungi FMT sebentar tadi.

“Ya, dia (Maszlee) akan masuk PKR, esok petang ada upacara di Simpang Renggam. Saya tidak tahu mungkin Anwar (Ibrahim) yang bawa beliau masuk (PKR),” katanya.

Jelas Jimmy, beliau mengalu-alukan kemasukan Maszlee kerana mampu memberi suntikan kepada PKR Johor.

Sementara itu, media melaporkan, penyertaan itu akan diumumkan dalam acara yang turut disertai Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Maszlee sebelum ini seorang ahli akademik dan menyertai Bersatu untuk bertanding dalam PRU14.

Dia salah seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat pada Mei tahun lalu susulan konflik dalaman yang tercetus akibat keputusan parti itu untuk keluar daripada PH, seterusnya meruntuhkan pentadbiran yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Sementara pemimpin yang lain bersama-sama Mahathir menubuhkan Pejuang, Maszlee ketika itu memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen bebas.

Pada masa sama, dia turut menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH.

Dia menjadi Menteri Pendidikan ketika pentadbiran PH sebelum diminta meletak jawatan oleh Mahathir pada Januari 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.