
Hakim, Mohd Firuz Jaffril turut menolak permohonan Puad mengetepikan perintah injuksi interim sebelah pihak (ex-parte) yang diperoleh bekas Perdana Menteri itu pada 1 Mac lalu berhubung perkara sama.
Berita Harian melaporkan Firuz membuat keputusan itu dengan mengambil maklum Puad sudah mematuhi perintah injuksi interim ex-parte dengan memadam kenyataan dipertikaikan itu daripada Facebooknya.
“Namun begitu, ini bukan pengakhiran buat defendan (Puad) sekiranya defendan berjaya dalam perbicaraan kelak.
“Akhir sekali, kenyataan yang dipertikaikan itu sudah diturunkan. Dalam keadaan ini, saya tidak cenderung membenarkan permohonan interim injuksi ini,” katanya.
Puad diwakili peguam G Rajasingam dan Shahrul Fazli Kamarulzaman, manakala Muhyiddin diwakili peguam Rosli Dahlan dan DP Naban.
Dalam writ saman yang difailkan atas kapasiti peribadi, Muhyiddin mendakwa Puad pada 9 Feb lalu memuat naik satu hantaran di Facebooknya di bawah nama “DrPuad Zarkashi” bertajuk “Kuarantin pun ada dua darjat?”
Muhyiddin mendakwa catatan itu boleh diakses pengguna internet di seluruh dunia dan menerima lebih 1,200 reaksi, 215 komen serta 182 perkongsian.
Muhyiddin turut mendakwa catatan itu merujuk “PM”, singkatan kepada Perdana Menteri, selain mendakwa ia mengandungi penyataan yang jelas tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan jahat terhadap plaintif serta memfitnahnya.
Beliau mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud plaintif dan rombongan enggan dikuarantin 10 hari selepas pulang dari lawatan rasmi ke Jakarta, Indonesia, sedangkan mereka semua sedang menjalani kuarantin ketika itu.