Jika tak yakin dengan Idris kerana dia PAS, tukar saja dengan Jamil, PM diberitahu

Jika tak yakin dengan Idris kerana dia PAS, tukar saja dengan Jamil, PM diberitahu

Dengan penasihat khas diperuntukkan RM50,000 sebulan, Ahli Parlimen Kepong mempersoalkan tindakan Perdana Menteri membawa masuk seorang lagi penasihat dalam pentadbirannya.

Ketua Umno Kedah Jamil Khir Baharom dilantik sebagai penasihat dalam hal ehwal agama kepada Perdana Menteri walaupun Idris Ahmad sudah dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kira-kira tiga bulan lalu.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen mempersoalkan rasional Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menambah kos dengan melantik seorang lagi penasihat walaupun beliau sudah mempunyai menteri yang mampu melaksanakan tanggungjawab sama.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata pelantikan Ketua Umno Kedah Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama dilakukan ketika negara berdepan krisis ekonomi.

Dengan penasihat khas diperuntukkan sebanyak RM50,000 sebulan, termasuk kakitangan, seperti dilaporkan sebelum ini, Lim mempersoalkan tindakan Ismail yang membawa masuk seorang lagi penasihat dalam pentadbirannya.

“Adakah Ismail tidak menaruh kepercayaan kepada Jemaah Menteri untuk memberi maklum balas yang diperlukan, atau adakah mereka langsung tidak kompeten?

“Sekiranya, mereka tidak mampu menunjukkan prestasi baik, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pegawai yang boleh memberi nasihat kepada Perdana Menteri, justeru, ia hanya membuktikan Ismail tidak lagi yakin dengan sesiapa pun dalam Kabinetnya,” katanya.

Lim berkata, Ismail sudah melantik Idris Ahmad sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama, kira-kira tiga bulan lalu.

“Jika beliau tidak lagi yakin dengan Idris kerana dia daripada PAS, Perdana Menteri patut menukarnya dengan Jamil,” katanya.

Lim mahu Ismail dan Idris memberi penjelasan dengan situasi yang berlaku selepas mengambil kira perbelanjaan yang akan ditanggung, terutama ketika negara berdepan kekangan fiskal meruncing.

“Ketika Covid-19 masih menjadi isu kesihatan global, termasuk inflasi, yang sebahagian besarnya disebabkan isu domestik yang memerlukan masalah itu ditangani segera oleh Ismail,” katanya sambil merujuk kepada dapatan Jabatan Statistik, baru-baru ini, yang mendedahkan inflasi negara sedang meningkat.

“Inflasi menyebabkan nilai ringgit menurun, justeru mengakibatkan peningkatan harga barang.

“Jadi, Ismail sepatutnya menggantikan semua tiga penasihat dengan pasukan penasihat ekonomi yang berwibawa demi membantu kerajaan kembali meletakkan negara ini di landasan terbaik,” katanya.

Bulan lalu, Azalina Othman Said, dilantik sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dalam hal ehwal undang-undang dan hak asasi.

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen bulan ini, Menteri Tugas-Tugas Khas Abdul Latiff Ahmad, turut menyatakan Ismail juga mempunyai penasihat khas dalam isu kesihatan, namun identitinya tidak didedahkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.