Isu MN: Susah runding jika 1 pihak selalu nak jadi ‘abang long,’ kata Samsuri

Isu MN: Susah runding jika 1 pihak selalu nak jadi ‘abang long,’ kata Samsuri

Naib Presiden PAS itu berkata perbincangan parti itu dengan Umno dalam Muafakat Nasional akan sukar jika ada pemimpin bersikap seperti 'abang long'

Sikap seperti ‘abang long’ akan menyukarkan usaha kerjasama kerana PAS mempunyai matlamat lebih besar ke arah muafakat politik seluruh parti berteraskan Melayu dan Islam, menurut Ahmad Samsuri Mokhtar.
PETALING JAYA:
Proses perbincangan antara PAS dan Umno dalam kerjasama Muafakat Nasional (MN) akan berdepan kesukaran jika sesetengah kepimpinan parti terbabit masih bersikap seperti ‘abang long’, kata Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Samsuri berkata sikap sedemikian akan menyukarkan usaha mereka kerana parti itu mempunyai matlamat lebih besar ke arah muafakat politik seluruh parti berteraskan Melayu dan Islam.

“Kalau sentiasa jadi abang long susahlah, Pas sangat terbuka kerana objektif kita besar ke arah muafakat politik melibatkan seluruh parti berteraskan orang Melayu dan Islam sekali gus dapat bekerjasama dalam pelbagai bidang,” katanya kepada wartawan, menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan bantuan persekolahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Samsuri berkata PAS akan meneruskan pendekatan secara rundingan bagi merealisasikan hasrat parti itu menyatukan Umno dan Bersatu dalam sebarang bentuk kerjasama politik.

Katanya, mereka tidak akan berputus asa sebaliknya berjiwa besar bagi meneruskan agenda penyatuan ummah yang menjadi perjuangan parti itu selama ini.

“Saya optimis kalau kita berusaha, semua pihak boleh duduk berunding dan berbincang ke arah kerjasama,” katanya.

Beberapa hari lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata mereka menolak MN yang hanya melibatkan Umno dan parti itu saja dan menyifatkan gabungan seperti itu sebagai “terbelenggu”.

Katanya, PAS hanya menerima MN yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional (PN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.