
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dari DAP berkata, memang telah lama wujud persoalan mengenai peranan Zeti dalam skandal itu, justeru dakwaan Thomas itu “tidak mengejutkan”.
“Persoalannya adalah, kenapa beliau (Thomas) tidak bertindak sepanjang 20 bulan beliau menjadi Peguam Negara,” katanya kepada FMT.
Thomas, dalam satu wawancara baru-baru ini, berkata memang dalam “pengetahuan umum” bahawa Zeti dan suaminya Tawfiq Ayman telah “memudahkan urusan” Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dalam skandal 1MDB.
Peranan Zeti dalam isu 1MDB diperkatakan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sebuah syarikat di Singapura yang dikawal Tawfiq telah menerima dana 1MDB berjumlah sekurang-kurangnya RM65 juta.
Polis Singapura juga dilaporkan memaklumkan BNM pada 2015 dan 2016 mengenai transaksi meragukan melibatkan syarikat milik Tawfiq, dengan dana berkenaan adalah dari akaun dikaitkan dengan Jho Low. Ketika itu, Zeti memegang jawatan sebagai Gabenor BNM.
Dalam wawancara itu, Thomas mendakwa “umum mengetahui” bahawa Zeti dan Tawfiq telah “memudahkan urusan” Jho Low, yang dituduh sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB.
“Namun saya fikir ketika kita menyiasat 1MDB, ia telah membawa kepada pendakwaan terhadap tujuh atau lapan pihak. Pada peringkat itu, kertas siasatan SPRM terhadap Zeti dan beberapa yang lain masih belum disiapkan, setakat yang saya ketahui.
“Jadi saya tidak pernah berpeluang meneliti kertas siasatan berkenaan,” katanya dalam temu bual yang disiarkan di YouTube.
Pelbagai pihak kian lantang mahukan Zeti yang sebelum ini menjadi saksi dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri Najib Razak berkaitan 1MDB, menjelaskan penglibatan keluarganya dalam skandal itu.