Najib bidas Wan Saiful, tunjuk ‘bukti’ Bersatu cuba serang PM

Najib bidas Wan Saiful, tunjuk ‘bukti’ Bersatu cuba serang PM

Wan Saiful Wan Jan mendakwa Najib membuat tuduhan itu sebagai taktik mengalih perhatian berhubung keputusan rayuannya di mahkamah, 8 Dis.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, saling bertikam lidah, berhubung dakwaan Bersatu cuba menjatuhkan Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak membalas kritikan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan, yang menuduh beliau “memfitnah” semalam dengan mendakwa Bersatu berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Wan Saiful mempersoalkan sama ada Najib menggunakan tuduhan itu sebagai cara untuk mengalih perhatian berkenaan rayuannya terhadap hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember ini.

“Tidak pelik fitnah itu datang daripada Najib. Itulah kata-kata orang berpengalaman bersama rakan-rakannya yang pernah jatuhkan Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin). Dia ingat semua orang perangai macam dia?,” katanya di Facebook.

Dalam catatan Facebook hari ini, Najib menunjukkan ‘meme’ dan kartun satira yang mengejek Ismail yang disiarkan oleh laman Facebook “Otai” yang didakwanya “dikawal oleh Bersatu”.

“Ini bukan pulak bukti bahawa PPBM (Bersatu) sedang serang PM Ismail ke? Soalnya sambil mendesak Wan Saiful memberi jawapan balas.

Mengenai isu harga makanan, Najib berkata, ia berpunca daripada kegagalan dasar Perikatan Nasional (PN) semasa pentadbiran Muhyiddin yang menyebabkan kadar inflasi tinggi yang dilihat hari ini.

“Siap dengan cadangan-cadangan serta saranan untuk ambil langkah redakan kenaikan harga yang tidak pernah dilayan kerajaan PN masa itu,” kata Najib, dengan memetik amaran yang telah dibuatnya pada bulan Jun mengenai kenaikan kadar inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.