Hukuman mati Nagaenthran kekal

Hukuman mati Nagaenthran kekal

Presiden Singapura Halimah Yacob menjawab surat diutuskan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, memohon hukuman Nagaenthran diringankan.

Nagaenthran yang berasal dari Perak ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 kerana menyeludup 42.72g dadah jenis diamorphine dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Warga Malaysia Nagaenthran K Dharmalingam yang dijatuhi hukuman mati di Singapura telah menerima proses yang sewajarnya mengikut undang-undang.

Presiden Singapura Halimah Yacob berkata demikian sebagai menjawab surat diutuskan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memohon hukuman Nagaenthran diringankan.

Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar republik itu pada Jumaat,adalah bagi menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia dan nasib Nagaenthran, 33, yang menunggu hukuman mati atas kesalahan dadah di Singapura.

Pada 12 Nov, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan juga telah membalas surat rakan sejawatan masing-masing dari Malaysia.

Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah telah mengutus surat kepada rakan sejawatan di Singapura, meminta budi bicara pihak berkuasa negara itu memberikan Pengampunan Presiden kepada Nagaenthran.

Nagaenthran yang berasal dari Perak ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 kerana menyeludup 42.72g dadah jenis diamorphine dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah dibuat oleh peguam keluarga Nagaenthran sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden. Bagaimanapun, permohonan itu ditolak pada 1 Jun 2020.

Nagaenthran yang dijatuhi hukuman mati 11 tahun lalu dan dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, bagaimanapun mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif Covid-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Susulan itu, Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman. Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya dari segi intelek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.