Mayat kanak-kanak reput, berbau ditemui di tebing sungai

Mayat kanak-kanak reput, berbau ditemui di tebing sungai

Menurut bomba, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dengan jarak lima kaki dari tebing sungai.

Jantina mayat tidak dapat dikenal pasti berikutan ia sudah reput, namun dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun, kata bomba. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
JOHOR BAHRU:
Mayat seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak diketahui jantina, ditemui dalam keadaan reput dan berbau di tebing sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat itu, oleh orang awam pada pukul 10.43 pagi.

“Mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dengan jarak lima kaki dari tebing sungai. Sebahagian daripada tubuh mayat kanak-kanak itu mungkin sudah dimakan haiwan.

“Malah, jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana mayatnya sudah reput, namun dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat kanak-kanak itu, dan siasatan termasuk jantina dan latar belakang mangsa sedang dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.