
Ketua Umno Selangor itu berkata, hubungan kerjasama antara Umno dan PAS di negeri terbabit disifatkan amat baik dan dilihat lebih berkesan.
“Kalau boleh Selangor ini berilah autonomi untuk menguruskan sendiri (kerjasama antara Umno dan PAS).
“Setakat hari ini, kita ada hubungan yang baik dengan PAS. Kita nampak MN di Selangor ini lebih berkesan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi memperkukuh MN, termasuk mengadakan perbincangan dan mesyuarat bulan lalu.
“Kita minta diberi sedikit keistimewaan di Selangor ini untuk Umno dan PAS meneruskan kerjasama MN,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, segala keputusan berhubung kerjasama itu terserah kepada kepimpinan parti masing-masing.
“Apa pun keputusan, ini diputuskan pucuk pimpinan peringkat atas dan kita akan mengikut ketetapan ditentukan,” katanya.