
Bercakap kepada media ketika melancarkan buku berjudul, “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia” itu, Mahathir berkata Ahli Parlimen Damansara itu seolah-olah mengerti individu yang disebut dalam tulisannya merujuknya, walaupun orang itu tidak dinamakan.
“Seperti yang anda tahu, saya tidak namakan dia. Tetapi jelas sekali dia faham bahawa saya merujuk kepadanya.
“Respons sebanyak tiga bahagian membuktikan apa yang saya katakan itu adalah benar. Mengapa dia perlu membalas jika ia mengenai orang lain?” kata Mahathir.
Dalam buku setebal 304 muka surat itu, Mahathir menyebut kelakuan pemimpin DAP itu menjadi punca kerajaan Pakatan Harapan tidak disenangi ramai.
“Bila anda bukan pun menteri dan hanya setiausaha politik – tetapi beritahu orang apa yang perlu dibuat dan mengugut mereka serta bercakap dengan cara anda – anda adalah angkuh dan orang tak akan suka anda.
“Kerana seorang ini, ramai orang tidak suka kerajaan (PH) kerana mereka rasa kerajaan tidak bertimbang rasa terhadap permasalahan mereka,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu.
Sebelum ini, Pua menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai seorang yang “amat selektif mengenai ingatannya”, selain cenderung mempercayai “kata-kata hartawan asing yang amat tidak jujur”.
Pua merujuk kepada Djoko Tjandra, hartawan dari Indonesia. Beliau menjawab dakwaan Mahathir bahawa beliau bertindak melampaui kuasa dan campur tangan dalam rundingan komersial melibatkan kerajaan semasa PH memerintah, yang didedahkan dalam buku terbaharu Mahathir.
Beliau berkata, tuduhan spesifik Mahathir itu merujuk kepada pembinaan bangunan Exchange 106 yang merangkumi projek kontroversi Tun Razak Exchange ketika Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Pada sidang media hari ini, Mahathir sekali lagi menekankan kelakuan Pua tidak disenangi ramai, dan menjadi antara punca utama kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.
Mahathir berkata, jika tidak benar, bagaimana ahli perniagaan berkenaan boleh berjumpa dengannya dan mengadu mengenai kelakuan pemimpin DAP itu.
“Lelaki itu datang berjumpa saya dan beritahu Tony Pua mengancam untuk ambil projek yang diselianya dengan hanya RM1 jika ia gagal.
“Beliau berjaya siapkan projek itu, tetapi Tony Pua cuba nak bagi tahu yang dia gagal siapkan projek itu…saya tak pasti betul atau tidak tapi takkan ahli perniagaan itu nak bagi tahu saya jika dia tidak ada masalah dengan Tony Pua?
“Ini adalah contoh bagaimana seorang lelaki yang angkuh cuba mengancam ahli perniagaan,” kata Mahathir.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata, Pua juga bertindak masuk campur dalam projek pengangkutan antara kerajaan dengan sebuah syarikat swasta apabila mendakwa mesin yang dibeli oleh syarikat berkenaan milik kerajaan.
“Syarikat itu beli 10 mesin untuk projek pengangkutan tetapi Tony Pua kata mesin itu hak kerajaan padahal ia dibeli oleh syarikat berkenaan. Sampai pengeluar mesin itu sendiri datang jumpa saya dan tunjuk kepada saya dokumen bahawa mereka jual mesin itu kepada syarikat berkenaan bukan kepada kerajaan,” tambahnya.