
Beliau sudah berdekad berusaha mendapatkan kerakyatan, dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memintanya menyediakan tiga saksi untuk mengesahkan kelahirannya setiap kali.
Beliau yang juga anak penoreh getah satu-satunya antara tujuh beradik yang tidak didaftarkan sebagai warga Malaysia. Semua tujuh anaknya juga rakyat negara ini.
“Saya telah memohon untuk menjadi rakyat negara kelahiran saya ini sejak lebih 40 tahun, namun setiap kali diminta menunggu sehingga dapat menyediakan tiga saksi. Memang sukar apabila tiada status kerakyatan seperti ini.
“Saya terpaksa membayar kadar dikenakan terhadap warga asing untuk setiap benda dan ada kalanya jumlahnya amat tinggi. Setiap kali saya terpaksa merayu untuk bantuan, dan anak-anak membantu sekadar yang mampu,” katanya kepada pemberita.
Ditanya kenapa kelahirannya tidak didaftarkan sedangkan adik-beradiknya yang lain adalah warganegara, Alliamah berkata, ketika kelahirannya pemberontak komunis telah membakar rumah keluarganya gagal menjarah makanan.
“Ibu bapa terpaksa menyorok kami dalam tong minyak ketika pertempuran berlangsung. Selepas semuanya selesai bapa saya tetap tidak mendaftarkan saya.
“Saya tidak bersekolah dan hanya membuat kerja rencam sepanjang hidup ini. Saya berpindah ke bahagian pulau selepas berkahwin dan terpaksa membesarkan tujuh anak bersendirian disebabkan suami tidak bertanggungjawab,” katanya.
Alliamah berkata, sepanjang hidupnya, setiap kali memohon untuk kad pengenalan, beliau disuruh “menunggu”.
Tujuh anaknya berusia 32 hingga 49 tahun turut berusaha membantu ibu mereka mendapat kerakyatan namun masih menemui jalan buntu.
Anak lelakinya Mohd Faizal Suresh Abdullah, 46, berkata JPN meminta tiga saksi kelahiran ibunya, namun mereka yang ada ketika kejadian itu kemungkinan besar telah meninggal dunia pada peringkat ini.
Katanya, pada 2018 Alliamah didiagnos mengalami bradikardia (degupan jantung perlahan). Kos pembedahan untuk beliau memasukkan perentak jantung menelan belanja RM70,000 iaitu kadar untuk warga asing.
Dengan bantuan Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy dan beberapa pihak lain, Hospital Pulau Pinang kemudian bersetuju melakukan pembedahan itu dengan syarat keluarga itu membayar RM11,000 untuk perentak jantung berkenaan.
Sementara itu, Ramasamy yang turut hadir dalam sidang media hari ini menyifatkan sebagai satu penghinaan apabila individu yang lahir di Malaysia sebelum Merdeka disuruh menyediakan saksi sebelum layak menjadi warganegara.
Ramasamy juga merasmikan Program Kerakyatan Pulau Pinang di Aras 46, Komtar. Golongan tidak bernegara yang memerlukan bantuan boleh menghubungi 04 6505105.