Ahli Parlimen BBC mahu Ismail kekal PM hingga 2023

Ahli Parlimen BBC mahu Ismail kekal PM hingga 2023

Pengerusi BBC Tajuddin Abdul Rahman berkata kepimpinan Perdana Menteri perlu diteruskan bagi membantu Kabinet memfokuskan usaha membela rakyat, mengatasi masalah akibat Covid-19.

Sebahagian 18 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan supaya Ismail Sabri terus menerajui negara sehingga berakhir penggal Parlimen. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk terus mentadbir negara sehingga penggal Parlimen berakhir pada 2023.

Pengerusi BBC Tajuddin Abdul Rahman berkata kepimpinan Perdana Menteri perlu diteruskan bagi membantu Kabinet memberikan fokus kepada usaha membela rakyat dan mengatasi masalah yang berlaku akibat Covid-19.

“Kami memberi kepercayaan yang tinggi kepada Perdana Menteri kerana beliau telah menunjukkan prestasi sangat baik dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri.

“Beliau (Perdana Menteri) bersama Ahli Kabinet yang mempunyai mazhab (fahaman politik) berlainan telah dapat membuktikan kejayaan mereka dalam menangani wabak Covid-19 negara sehingga angka statistik menurun,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata antara petunjuk kejayaan yang dilakukan Ismail Sabri ialah menambah peluang pekerjaan, merancakkan semula sektor ekonomi, memulihkan industri pelancongan dan membuka peluang perniagaan kepada rakyat.

Malah, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga pada persidangan Dewan Rakyat hari ini juga membuktikan hasil kejayaan Perdana Menteri dalam mengurus negara.

Rang undang-undang itu memperoleh sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 undi menyokong ketika belah bahagian pada bacaan kali ketiga, sekali gus lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Tajuddin percaya keadaan negara yang dipimpin Ismail Sabri akan terus stabil dan kukuh terutamanya dengan amalan politik matang yang dilaksanakan semasa pentadbiran kerajaan ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.