
IPOH: Tasik Cermin di sini yang sering menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya, ditutup bermula semalam gara-gara tular video menunjukkan seorang lelaki terjun ke dalam tasik berkenaan.
Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin berkata, kawasan tersebut ditutup sehingga siasatan kes itu selesai dan pembukaan semula akan diumumkan.
“Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kejadian itu dan kes masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Katanya, identiti pelaku masih dalam siasatan dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan yang bersesuaian.
Kawasan Tasik Cermin berada di bawah pengurusan Geopark Kinta dan orang ramai tidak dibenarkan bermandi-manda di kawasan tasik berkenaan.
Baru-baru ini, video selama 15 saat menunjukkan seorang lelaki berpakaian serba hitam terjun ke dalam tasik berkenaan tular di aplikasi TikTok.
Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan lelaki itu kerana perbuatannya itu boleh menyebabkan kawasan rekreasi itu ditutup kepada pengunjung.
Sebelum ini, Tasik Cermin pernah ditutup kepada pengunjung Mac 2020 atas faktor keselamatan.