
Beliau berkata, dasar yang diperkenalkan Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad menyaksikan lebih 26,000 rakyat Malaysia melanjutkan pengajian ke Jepun sehingga kini.
“Saya rasa Dasar Pandang Ke Timur membuahkan banyak hasil di Malaysia. Saya gembira mereka ini memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat Malaysia,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi contoh kini terdapat 15 ketua setiausaha kementerian yang melanjutkan pendidikan ke Jepun di bawah Dasar Pandang Ke Timur.
“Dari segi perniagaan, saya difahamkan ramai graduan daripada Dasar Pandang Ke Timur memainkan peranan penting dalam meningkatkan hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.”
Beberapa badan yang menjadi kunci dalam memacu program berkenaan selama ini seperti Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Persatuan Bekas Mahasiswa Jepun Malaysia dan Persatuan Alumni Dasar Pandang Ke Timur.
“Saya gembira melihat Dasar Pandang Ke Timur menunjukkan banyak pencapaian dan berharap selepas ulang tahun ke-40, dasar ini akan terus berkembang dan meningkatkan hubungan dua hala.”
Menerusi perbualan telefon antara Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya di Jepun, Fumio Kishida, Katsuhiko berkata, beliau digalakkan dengan komitmen kedua-dua pemimpin itu mengembangkan lagi program terbabit.
“Kedua-dua pemimpin komited meningkatkan hubungan dua hala sepanjang ulang tahun ke-40 dan seterusnya. Kita merasakan Dasar Pandang Ke Timur akan diteruskan di bawah kerajaan baharu (pimpinan Ismail) dan kedua-dua pihak bersedia membincangkan cara meningkatkannya lagi.”
Katanya, terdapat perbincangan dengan Putrajaya untuk membuka cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.
“Sekiranya berlaku, ia akan menjadi universiti Jepun pertama yang membuka cawangan di luar negara dan Malaysia negara pertama yang mempunyai cawangan universiti itu. Ini akan menjadi saluran untuk menyediakan pendidikan dari Jepun kepada pelajar Malaysia dan ia akan membuka satu lagi lembaran buat hubungan dua hala.”