
Keputusan tidak rasmi menunjukkan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi untuk memastikan gabungan itu selesa memerintah Sarawak bagi lima tahun akan datang.
Keputusan malam ini mengesahkan ramalan pemerhati politik dan penganalisis bahawa GPS semakin kuat di Sarawak, malah berpeluang menambah kerusi Parlimennya pada PRU15 nanti.
Meskipun gabungan itu sebelum ini dikhuatiri tidak berupaya menandingi rekod cemerlangnya pada PRN lalu dan bakal menghadapi saingan di beberapa kerusi kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB), PKR dan DAP, keputusan muktamad menunjukkan pengundi negeri itu rata-rata memberi sokongan kepada GPS.
Walaupun meletakkan 70 calon, PSB hanya menang empat DUN, menurut keputusan tidak rasmi. Presiden PSB Wong Soon Koh mengekalkan kerusi Bawang Assan untuk penggal ketujuh manakala Baru Bian menang sekali lagi di Ba Kelalan. PSB juga dilaporkan menang di Simanggang dan menawan kerusi Engkilili daripada GPS.
Pada PRN Sarawak lalu, DAP menang tujuh kerusi manakala PKR tiga. Keputusan tidak rasmi setakat ini menunjukkan DAP bertanding di 24 kerusi tetapi hanya menang dua DUN – Padungan dan Pending.
Manakala, PKR dikatakan tewas di semua 28 kerusi, begitu juga Amanah yang dikatakan kalah di semua lapan kerusi ditandingi.
Prestasi lembab DAP dan PKR di Sarawak khususnya menyusul kekalahan teruk mereka pada pilihan raya negeri Melaka bulan lalu. Hubungan PKR-DAP di Sarawak juga dilaporkan menghadapi masalah, seperti yang berlaku di peringkat nasional.
Kekalahan dua parti itu yang bersekutu bawah payung Pakatan Harapan, tentu sekali lagi akan mengundang persoalan mengenai kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH menjelang PRU15.
Hubungan GPS dengan PH dingin sekian lama dan berkait dengan tindakan dua parti itu untuk saban kali bertanding pada pilihan raya di Sarawak. Pemimpin GPS juga diserang pemimpin tertentu PH sebelum ini.
Ini berlainan dengan Bersatu dan Umno yang mengambil keputusan “bijak” tidak bertanding di PRN kali ini, dengan harapan memperoleh sokongan GPS untuk membentuk kerajaan, jika menang PRU15.
Di Sarawak sendiri, penampilan PSB dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang bertanding di 73 kerusi, gagal menggugat GPS sama sekali dan mencerminkan Sarawak masih belum mempunyai pembangkang yang mampu mencabar gabungan pemerintah itu.
Mesej PBK, khususnya yang menuntut kemerdekaan daripada Persekutuan Malaysia, jelas ditolak oleh pengundi Sarawak yang mementingkan kestabilan dan kemakmuran ekonomi dalam kerangka negara Malaysia.
Seramai 349 calon bertanding untuk meraih sokongan daripada 1.2 juta pemilih berdaftar di negeri itu.
Ia membabitkan pertandingan enam penjuru di tujuh DUN, lima penjuru (24 DUN), empat penjuru (33 DUN), tiga penjuru (13 DUN) manakala satu lawan satu di empat kawasan.