
Bercakap kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Armada dan Srikandi, beliau berkata bukan amalan dan cara parti itu untuk bertepuk gembira di atas musibah menimpa individu lain.
“Saya tidak tuju kepada sesiapa, tetapi sebagai parti yang mendukung asas perjuangan bangsa dan tanah air, bila kita nak mendakwa seseorang itu adalah demi kebaikan untuk menginsafkan diri dan membawa individu yang melakukan kesalahan ke pangkal jalan.
“Kita wajar berasa sedih dan kecewa. Kita patut berasa insaf dan hiba. Waima siapalah sekalipun orangnya, melihat mantan pemimpin negara, mantan pemimpin orang Melayu berdepan dengan mahkamah pengadilan kuasa…bukanlah ruang pandang yang mewajarkan gegak gempita,” katanya.
Beliau dipercayai merujuk kepada kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa berkaitan kes dana 1MDB.
Mahkamah Rayuan pada 8 Dis mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International.
Pasukan peguam bekas Perdana Menteri sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan meminta kira-kira 1,600 perwakilan mengambil pengajaran terhadap kes mahkamah yang sedang menimpa bekas pemimpin negara.
“Benar, kita berada di bahtera politik yang berbeza. Benar, kita memusuhi khianat dan salah guna kuasa. Namun, bukan cara kita bertepuk gembira atas alpa dan sengsara. Bukan amalan kita, bersukacita dengan mihnah yang menimpa. Mereka juga ada anak dan keluarga, mereka juga ada maruah yang perlu dipelihara.
“Segala yang berlaku, harus memberi iktibar dan pengajaran buat kita. Jangan sesekali lena dan khayal dengan kuasa,” katanya.