
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata beliau sudah mengarahkan semua jentera parti turun ke kawasan terjejas.
“Saya berdoa mudah-mudahan kita semua selamat daripada musibah banjir sedang melanda negara ini,” katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu.
Dalam pada itu, Muhyiddin ketika mengulas berhubung kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau memahami ramai ahli kecewa dan tidak dapat menerima hakikat kerajaan PN tumbang secara tidak bermoral.
“Walaupun saya sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN tidak lagi menjadi Perdana Menteri, tetapi saya yakin bahawa saya telah melakukan perkara yang betul dengan mengikut kehendak undang-undang dan perlembagaan serta prinsip integriti.
“Itu yang penting dan kita buktikan secara nyata kepada rakyat bahawa kita bukan parti yang rakus kuasa. Kita bukan parti yang tamak haloba. Kita bukan parti gangster,” katanya.
Beliau menarik perhatian perwakilan dengan mendedahkan terdapat “suara” yang menyatakan Bersatu tidak lagi mempunyai masa depan selepas wakilnya tidak lagi menjadi Perdana Menteri.
“Mereka tidak dapat menerima hakikat kerajaan PN yang sama-sama ditubuhkan dengan tujuan untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik, ekonomi dan kesihatan yang meruncing dijatuhkan secara yang tidak bermoral.
“Mereka bimbang apa akan jadi kepada Bersatu apabila Perdana Menteri bukan lagi daripada parti kita,” katanya.