KDN akan keluar surat pendaftaran MUDA, kata Hamzah

KDN akan keluar surat pendaftaran MUDA, kata Hamzah

Menteri Dalam Negeri berkata keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa pemimpin parti.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin (tengah) bersama Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani (kiri) ketika tinjauan di Balai Polis Batu 18 yang terjejas akibat banjir di Pekan Batu 18 kawasan Hulu Langat, hari ini. (Gambar Bernama)
HULU LANGAT:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengeluarkan surat pendaftaran MUDA sebagai sebuah parti, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa pemimpin parti.

“Saya tidak akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh mahkamah, kita akan keluarkan surat pendaftaran untuk MUDA,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa.

Turut hadir pada tinjauan itu Ketua Setiausaha KDN Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali serta Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed.

Pada 14 Dis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Menteri Dalam Negeri mendaftarkan MUDA sebagai sebuah parti politik dalam tempoh 14 hari.

Hakim Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan 12 individu untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) yang menolak rayuan mereka untuk mendaftar MUDA sebagai sebuah parti politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.