‘Gencatan senjata’ Bersatu-PAS rapuh jika perbezaan utama tak selesai, kata penganalisis

‘Gencatan senjata’ Bersatu-PAS rapuh jika perbezaan utama tak selesai, kata penganalisis

Rabi’ah Aminudin dan Azmi Hassan berkata kedua-dua parti mesti mengambil langkah lebih kukuh ke arah perdamaian sebelum pilihan raya akan datang.

pemimpin pn
Isu Perlis kekal sebagai titik paling kritikal dalam Perikatan Nasional yang perlu diselesaikan segera, kata Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.
PETALING JAYA:
Cadangan ‘gencatan senjata’ politik antara Bersatu dan PAS akan kekal rapuh selagi kedua-dua parti tidak menyelesaikan perbezaan asas mereka dan menangani kemelut politik terbaharu di Perlis, kata penganalisis politik.

Rabi’ah Aminudin dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata dua komponen utama Perikatan Nasional (PN) itu perlu meleraikan perbezaan dalam orientasi politik serta matlamat jangka panjang masing-masing.

Rabi’ah Aminudin
Rabi’ah Aminudin.

Beliau berkata PAS dilihat mengutamakan visi ideologi jangka panjang, dengan melihat politik sebagai wahana untuk membentuk masyarakat mengikut prinsip Islam, manakala Bersatu pula lebih tertumpu kepada kelangsungan politik dan pilihan raya dalam jangka pendek.

Menurut Rabi’ah, PAS kekal konsisten dengan prinsip Islamnya tanpa mengira kerjasama dengan parti lain dan mampu bertahan menghadapi kekalahan pilihan raya tanpa berdepan krisis kewujudan parti.

“Sebaliknya, Bersatu ditubuhkan hasil daripada krisis politik, dengan mengambil model Umno. Penubuhannya bertujuan menarik sokongan pengundi Umno yang kecewa.

“Perbezaan ini membentuk pendekatan masing-masing terhadap kerjasama politik. Jika mereka dapat mendamaikan perbezaan ini, mereka mungkin membentuk pakatan yang lebih kukuh untuk pilihan raya akan datang, namun saya menjangkakan hubungan ini akan kekal bersifat transaksional dan rapuh buat masa ini,” katanya.

Pada 1 Feb, Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat Syahir Sulaiman menyeru kedua-dua parti melaksanakan ‘gencatan senjata’ sementara menunggu mesyuarat segera Majlis Tertinggi PN.

Gesaan itu susulan beberapa kenyataan oleh pemimpin Bersatu berhubung jawatan pengerusi PN, yang menjadi sasaran pertikaman lidah sejak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan tersebut.

Ketua penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menyambut baik seruan gencatan senjata itu, namun berkata PAS perlu memohon maaf atas tuduhan yang dilemparkan terhadap Bersatu dalam pertikaian jawatan menteri besar Perlis.

Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata isu Perlis kekal sebagai titik paling kritikal dalam gabungan pembangkang itu dan memberi amaran bahawa kegagalan menanganinya boleh memanjangkan ketidakstabilan politik.

Beliau berkata PAS perlu meredakan sikap bermusuhan terhadap kerajaan Perlis yang kini diterajui Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu, kerana ia berisiko menjejaskan kerjasama lebih luas dalam PN.

Beliau juga menggesa kedua-dua parti menyelesaikan isu jawatan pengerusi PN secara baik, memandangkan wujud keraguan dalam kem Muhyiddin mengenai keupayaan PAS memimpin gabungan itu dengan berkesan.

“Satu kompromi diperlukan bagi memastikan sokongan berterusan daripada parti komponen PN seperti Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

“Kedua-dua isu ini perlu diselesaikan sebelum usaha boleh dibuat untuk memulihkan sepenuhnya kesepaduan antara Bersatu dan PAS dalam PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.