Edar dadah, buruh dihukum gantung

Edar dadah, buruh dihukum gantung

Tertuduh, Khairol Anuar Zakaria, 38, dijatuhkan hukuman itu selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1227.9g, empat tahun lalu.

Tertuduh Khairol Anuar Zakaria dijatuhkan hukuman gantung selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,227.9 gram, empat tahun lalu. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang buruh selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,227.9g, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohamad Abazafree Mohd Abbas menjatuhkan hukuman itu ke atas Khairol Anuar Zakaria, 38, yang kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan terhadapnya.

Mohamad Abazafree berkata, mahkamah membuat pertimbangan terhadap setiap aspek kes sepanjang tempoh perbicaraan, termasuk mengambil kira keterangan saksi serta bukti.

“Mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes tanpa keraguan munasabah.

“Oleh itu, tertuduh dijatuhi hukuman mati dan akan ditahan sehingga tempoh yang ditetapkan. Selepas itu tertuduh akan digantung sampai mati,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,227.9 gram di sebuah rumah di Kampung Dangar, Rantau Panjang, kira-kira jam 2.55 petang pada 17 April 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta dadah yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati.

Timbalan Pendakwa Raya Shaharaliza Ab Razak mengendalikan kes pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

Dalam penghujahan terakhir, Ahmad Nizam memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan dan memberi peluang kedua memandangkan anak guamnya yang sudah insaf dan menyedari kesalahannya.

Bagaimanapun, Shaharaliza mengemukakan hujah balas dengan merujuk keputusan terdahulu dalam kes yang sama dan hukuman yang dikenakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.