
Menurut sumber mahkamah, anggota polis dan pegawai mahkamah yang hadir terperanjat dengan serangan mengejut terhadap pendaftar, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib yang memangku tugas majistret berikutan cuti hujung minggu di Johor.
“Kekecohan berlaku tetapi anggota polis berjaya mengawal suspek berusia 30 tahun dan membebaskan pendaftar dalam masa beberapa minit,” katanya.
Sumber itu berkata, pendaftar itu tidak cedera tetapi jelas terkejut dengan serangan yang tidak dijangka itu.
“Bagaimanapun, beliau tidak menangguhkan prosiding reman sebaliknya terus mendengar permohonan lain kerana terdapat banyak kes. Beliau mendengar 53 kes reman hari ini.”
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Selatan Lim Jit Huey dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku pada jam 11.20 pagi ketika prosiding reman.
“Anggota polis berjaya mengawal keadaan. Pendaftar tidak cedera. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.
“Hukuman maksimum ialah penjara dua tahun atau denda RM10,000,” katanya.