Rogol 2 beradik dalam belukar, penjawat awam ditahan

Rogol 2 beradik dalam belukar, penjawat awam ditahan

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 20 dan 37 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumah pada awal pagi 21 Dis lalu.

Suspek dikatakan mengugut mangsa jika enggan menuruti perintahnya, kata Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung kes rogol melibatkan dua beradik di dalam belukar di tepi jalan, Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar, Manjung.

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Bercham, di Ipoh pada 2.20 petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua beradik berusia 20 dan 37 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal sebelum ditahan suspek pada jam 2.38 pagi, 21 Dis lalu.

Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua beradik berkenaan melalui lokasi pada 12.05 tengah malam apabila ditahan suspek yang menunggang motosikal di laluan itu.

Menurutnya, suspek mengugut untuk membunuh mangsa sekiranya tidak mengikut arahannya sebelum mereka dirogol.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis berjaya mengesan dan menahan suspek serta merampas pakaian dan kenderaan digunakan ketika kejadian.

“Suspek adalah penjawat awam yang bertugas di Kota Samarahan, Sarawak. Ketika kejadian suspek sedang bercuti dan berada di daerah Manjung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun Keseksaan.

Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.